Friday, 18 July 2014

MH17 terhempas: Mayat ditemui di lokasi, serpihan bersepah sejauh beberapa kilometer

MH17 terhempas: Mayat ditemui di lokasi, serpihan bersepah sejauh beberapa kilometer
Bangkai pesawat MH17 yang ditemui. - AFP PHOTO/DOMINIQUE FAGET

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terputus hubungan pada kira-kira 1415 (GMT)  dari waypoint Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia telah disahkan terhempas menurut laporan AFP.

AFP turut melaporkan beberapa mayat telah ditemui di sekitar lokasi pesawat terhempas dan serpihan dikatakan bersepah sejauh beberapa kilometer.

Ekor pesawat malang itu dijumpai di sebuah ladang jagung berhampiran manakala pasukan mencari dan menyelamat kelihatan di lokasi.

Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (waktu tempatan) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

Terdahulu, pesawat Malaysia Airlines MH17 dikatakan terhempas di Ukraine, lapor Reuter.

Pesawat terbabit membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Dalam pada itu, sebuah pusat operasi telah dibuka dan akan beroperasi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Malaysia Airlines (MAS) dijadual mengadakan satu sidang media pada pukul 4 pagi di KLIA.

MH17 MAS
Peta menunjukkan lokasi terakhir pesawat MH17 sebelum ia terputus hubungan dengan pusat kawalan. -AstroAWANI

Wisma Putra kini sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Rusia dan Ukraine susulan laporan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah terhempas di Ukraine, lapor Bernama.

Laporan itu menyebut Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengesahkan perkara berkenaan.

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan kedua-dua kerajaan untuk mendapat maklumat.

"Buat masa ini, kami mempunyai beberapa maklumat, cuma tunggu nak mengesahkan sahaja", kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terkejut dengan kejadian yang dilaporkan menimpa pesawat Boeing 777 milik MAS penerbangan MH17.

Perdana Menteri menerusi akaun Twitternya berkata, kerajaan akan menyiasat segera kejadian tersebut.

Bagaimanapun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi akaun twitternya menjelaskan, masih belum ada pengesahan bahawa pesawat itu ditembak jatuh.

"Pihak tentera telah diarahkan untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (berhubung insiden tersebut)," katanya.- awani


Monday, 14 July 2014

Motosikal terbang di pasaran 2016


MOTOSIKAL terbang dikenali sebagai Helicycle yang boleh digunakan di darat dan juga boleh terbang akan mula dipasarkan pada 2016. - AGENSI

AMSTERDAM 14 Julai - Sebuah syarikat permotoran Belanda membuka era baharu dalam dunia pengangkutan apabila mengeluarkan motosikal terbang pertama di dunia yang akan dijual di pasaran pada 2016.
Portal berita Mail Online melaporkan motosikal yang diberi nama Pal-V One Helicycle atau The Helicycle dihasilkan selama bertahun-tahun oleh syarikat Pal-V dan berkeupayaan untuk digunakan di darat atau di udara.
Malah penggunaan motosikal dwifungsi itu adalah sah di sisi undang-undang dan pemiliknya perlu mendapatkan lesen khas iaitu Sijil Penerbangan Sukan.

MOTOSIKAL Helicycle keluaran firma Pal-V memerlukan landasan kira-kira 150 meter untuk berlepas dan boleh mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer sejam di udara. - AGENSI

Menurut firma Pal-V, The Helicycle boleh mencecah kelajuan sehingga 180 kilometer sejam dan mampu mencapai kelajuan 0 hingga 96 kilometer sejam di bawah lapan saat apabila bergerak di darat.
Jelasnya, kenderaan tersebut mempunyai dua tempat duduk dan reka bentuknya kelihatan seperti helikopter serta memerlukan landasan sejauh 164 meter untuk berlepas.
"The Helicycle menggunakan enjin 230 kuasa kuda yang dijana oleh petrol dan pemandunya boleh terbang sejauh 354 kilometer pada ketinggian 1,219 meter atau dipandu sejauh 1,207 kilometer di darat.
"Tidak seperti kereta terbang, The Helicycle perlu mengambil masa 10 minit untuk proses mengeluarkan kipas secara automatik sebelum terbang," kata firma tersebut.
The Helicycle akan dijual di pasaran pada harga 230,000 pound (RM1.2 juta) seunit.- Utusan Online