ISMAIL SABRI YAAKOB (dua dari kanan) meninjau kedai telefon bimbit sambil diperhatikan oleh Ibrahim Ahmad (kanan) dan Khairul Azizi Ismail (kiri) ketika melawat Mara Digital di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kesemua gajet dan alatan telekomunikasi di Mara Digital perlu melalui proses saringan terlebih dahulu sebelum dijual kepada pengguna untuk memastikan ketulenan barangan tersebut.Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses tersebut akan dijalankan oleh Pusat Bekalan IT Tulen, WGN Scan Sdn. Bhd. (WGN Scan).
Katanya, proses saringan itu mampu membendung masalah barangan tiruan yang sebelum ini sering dihadapi oleh pengguna."Terdapat dua jenis produk yang dibawa masuk ke sini, pertamanya adalah produk yang dibawa masuk melalui WGN Scan dan peniaga-peniaga mengambil produk tersebut daripada WGN Scan.
"Kedua pula adalah produk yang diambil dari negara pengeluar dan produk ini juga perlu dibawa serta disahkan ketulenannya oleh WGN Scan," katanya ketika ditemui selepas melawat Mara Digital di Menara Mara di sini hari ini.Yang turut hadir, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad, Pengurus Besar WGN Scan, Wan Mohd. Zaffique Wan Mohd. Zin dan Ketua Pelaburan Mara Incorporated Sdn. Bhd., Khairul Azizi Ismail.Menurut Ismail Sabri, melalui cara itu, pihaknya berharap tidak lagi timbul keraguan mengenai keaslian produk yang dijual di Mara Digital.Dalam pada itu, beliau memberitahu, antara pembaharuan yang dilakukan di Mara Digital untuk menjamin hak pengguna adalah pembukaan sebuah pusat aduan pelanggan di situ."Pusat aduan pelanggan ini akan beroperasi dengan segera walaupun sehingga kini kita masih belum menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai produk yang dijual.
"Pegawai Mara Incorporated Sdn. Bhd. akan menjalankan tugas mereka di pusat aduan pelanggan ini, jika ada aduan tentang produk, tak puas hati dengan layanan semua pengguna boleh adukan di sini," katanya.Tambahnya, dalam tempoh terdekat, dua lagi Mara Digital akan dibuka iaitu di Anggerik Mall, Shah Alam dan Damansara sebelum diperluaskan ke seluruh negara."Paling awal kita jangka Mara Digital di Anggerik Mall serta Damansara akan dibuka pada pertengahan tahun ini," jelasnya.-Utusan Online
No comments:
Post a Comment