Wednesday, 27 August 2014

Wanita tumpaskan harimau











Kamla Dewi terpaksa menerima lebih 100 jahitan akibat kecederaan diserang harimau bintang. - AGENSI


DEHRADUN, India 27 Ogos - Keberanian seorang wanita mempertahankan diri dengan membunuh seekor harimau bintang yang menyerangnya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun, menggemparkan penduduk kampung di Uttarakhand, India semalam.

Akhbar Daily Mail melaporkan, Kamla Dewi, 54, menikam pemangsa itu dengan hanya menggunakan peralatan kebun dan bergelut selama satu jam sebelum haiwan itu mengalah lalu beredar dan ditemukan mati di Koti Bodna, Rudarprayang.

"Harimau bintang itu menyerang Kamla secara tiba-tiba ketika sedang dalam perjalanan ke rumah.
"Wanita berani itu melawan haiwan ganas tersebut dengan penyodok kecil dan sabit. Harimau itu kemudian melarikan diri selepas pergelutan tersebut. Kami kemudian mendapati harimau itu mati berdekatan kampung berkenaan," kata seorang penduduk kampung kepada akhbar India Today.
Katanya, selepas pergelutan itu wanita tersebut terpaksa berjalan sejauh 804 meter sebelum mendapatkan bantuan.

Kakitangan perubatan berkata, walaupun keadaan wanita itu stabil, dia menerima lebih 100 jahitan, luka yang dalam di kepala dan kaki. Dia turut mengalami patah tulang di dua bahagian tangan kanan dan satu bahagian di tangan kiri.
Pakar Hidupan Liar, Lakhpat Rawat berkata, dia terperanjat apabila mengetahui pertarungan itu berlangsung terlalu lama.

"Harimau bintang hanya akan mengalah apabila mengetahui lawannya itu kuat. Kebanyakannya serangan harimau hanya terhad kepada beberapa minit dan tidak lebih dari 10 minit," ujarnya. sumber  - Utusan Malaysia




Wednesday, 20 August 2014

Kanak-kanak mati dalam kereta





ertisement





MAYAT Muhammad Aqil Arfan Adnan dibawa untuk bedah siasat ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR 20 Ogos - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas ditinggalkan bapanya secara tidak sengaja selama lebih lapan jam di kawasan letak kenderaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Kuala Nerang dekat sini hari ini.
Difahamkan bapanya, Adnan Salleh, 40-an, yang merupakan guru agama sekolah itu meninggalkan mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan di dalam kereta tersebut sebaik sahaja sampai di sekolah untuk mengajar kira-kira pukul 7.30 pagi.
Beliau bagaimanapun hanya menyedari kehadiran mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik selepas selesai bekerja iaitu kira-kira pukul 4 petang.
Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang, tetapi disahkan telah meninggal dunia sebaik sahaja tiba di situ.
Saudara mangsa, Soaid Adam, 45, berkata, bapa mangsa dipercayai tidak menyedari anak lelakinya itu yang sedang tidur tertinggal di kerusi belakang kereta itu.
Katanya, Adnan bersama isterinya, Asiah Abu, 30-an yang merupakan seorang guru di SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang dan anak mereka keluar dari rumah di Kampung Padang Durian, Pendang, kira-kira pukul 6.45 pagi.
"Selalunya Adnan akan melalui jalan Pokok Sena, kemudian akan menghantar anaknya dahulu ke tadika dan selepas itu barulah menghantar isterinya ke SMK Dato' Syed Ahmad, manakala dia pula akan ke SMK Kuala Nerang.
"Tetapi entah kenapa rutin Adnan bertukar hari ini, beliau melalui jalan Naka dan menghantar isterinya dahulu lalu terus ke SMK Kuala Nerang. Beliau mungkin terlupa untuk menghantar anaknya ke tadika tersebut," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah ( HSB) di sini hari ini.
Menurut Soaid, jarak tadika berkenaan dengan tempat Adnan mengajar tidak jauh iaitu kira-kira 150 meter.
"Saya memang terkejut apabila Adnan maklumkan hal ini kira-kira pukul 7.30 malam. Saya tidak sangka hal ini akan menimpa keluarga kami," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
"Punca kejadian masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan," jelasnya. 

-   Utusan Malaysia


Tuesday, 19 August 2014

Konkrit tidak seimbang punca runtuh





SEORANG anggota bomba melintasi kawasan runtuhan landasan konkrit projek MRT yang mengakibatkan tiga pekerja maut dalam kejadian di Kota Damansara, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 19 Ogos Kedudukan bongkah konkrit yang tidak seimbang semasa pemasangan tembok penghadang (parapet) dipercayai menjadi punca kejadian runtuhan yang mengorbankan tiga pekerja warga Bangladesh di tapak projek pembinaan landasan Transit Aliran Massa (MRT), Kota Damansara di sini semalam.
Dalam kejadian kirakira pukul 8.30 malam itu, 14 bongkah konkrit seberat 650 tan tersebut dipercayai runtuh serentak hingga menyebabkan ketigatiga mangsa iaitu Mohamad Elahi Hossain, 27, Mohamad Faruk Khan, 38, dan Mohammad Alauddin Mollik, 34, yang sedang melakukan kerjakerja pemasangan tembok penghadang maut akibat tertimbus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohamed Sabri A. Samsudeen berkata, pihaknya dimaklumkan tiga pekerja berada di atas landasan konkrit tersebut untuk melakukan pemasangan tembok penghadang sementara seorang mangsa berada di bawah berdekatan lokasi kejadian.
"Pemasangan tembok penghadang di sebelah bahagian sahaja dipercayai menyebabkan konkrit landasan berat sebelah sebelum terpusing ke kanan dan runtuh dari ketinggian 38 meter serta menghempap ketigatiga pekerja yang sedang menjalankan kerja pemasangan.
"Mangsa yang berdekatan lokasi sempat menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan. Kita mengalami cabaran yang sukar memandangkan perlu memecahkan bongkah kepada beberapa bahagian sebelum boleh dialihkan dan memudahkan kerja mengeluarkan mayat yang tertimbus," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambah Mohamed Sabri, pihaknya berjaya menemui mayat pertama iaitu Mohamad Elahi, pada pukul 2.34 pagi selepas beberapa jam operasi dijalankan.
"Pencarian dua lagi mayat iaitu Mohamad Faruk dan Mohammad Alauddin diteruskan dengan operasi pemotongan bongkah konkrit sehingga pukul 9 pagi ini. Keduadua mayat hanya berjaya ditemui dalam timbunan konkrit pada pukul 1.35 petang ini.
"Mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat," katanya lagi.
Menurutnya, 25 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian manakala 19 anggota polis dan 15 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid yang ditemui di lokasi kejadian pagi ini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca kejadian termasuk pematuhan kerja yang dilakukan oleh kontraktor projek.
"MRT akan memberi apa sahaja keperluan yang diperlukan ahli keluarga bagi membantu mereka di saatsaat sukar ini.
"Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan akan menghantar laporan lengkap kejadian ini kepada mereka setelah semua penyiasatan dan punca dikenal pasti," katanya sebelum mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa sertamerta sebagai mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden itu, petang ini. - Utusan Melayu 



Monday, 11 August 2014

37,467 Calon Dapat Tawaran Di IPTA Sesi 2014/2015




KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Sejumlah 37,467 calon berjaya mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2014/2015.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Datuk Profesor Dr Asma Ismail berkata mereka terdiri daripada 67,388 calon yang layak daripada 74,071 permohonan dan surat tawaran rasmi akan dikeluarkan mulai Rabu ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 21,800 calon (58.2 peratus) adalah daripada aliran Sains manakala 15,667 (41.8 peratus) daripada Sastera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 26,030 atau 69.5 peratus adalah pelajar wanita manakala 11,437 atau 30.5 peratus adalah lelaki.

Katanya, kesemua 3,062 calon Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 turut mendapat tawaran di IPTA bagi sesi Akademik 2014/2015.

Asma berkata untuk sesi akademik kali ini, sebanyak 124 atlet kebangsaan dan antarabangsa, 56 calon orang kurang upaya (OKU) dan 31 daripada kelompok Orang Asli turut ditawar ke IPTA.

Katanya, status permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan STPM/ Setaraf Sesi Akademik 2014/2015 boleh disemak mulai esok (Selasa), 12 Ogos pukul 12 tengah hari melalui laman sesawang Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar , http://www.jpt.utm.my, jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, http://jpt.ums.edu.my atau hubungi Hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777, talian am 03-8870 6755/6766 atau menerusi Khidmat Pesanan Ringkas dengan menaip UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.

Beliau berkata semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju menerima tawaran oleh IPTA dalam tempoh 10 hari, iaitu pada atau sebelum 23 Ogos.

Katanya, Bahagian Pengurusan dan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi juga akan membuka kaunter semakan status keputusan permohonan ke IPTA di Aras 4, No.2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62200 Putrajaya mulai 12 Ogos hingga 22 Ogos bagi memudahkan pemohon membuat semakan dan mendapatkan khidmat runding cara.

"Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui saluran Talian Khidmat Bantu (Helpline) di 03-8870 6767 atau Hotline 03-88706777 atau melalui e-emel di alamat upu@moe.gov.my," katanya.

Asma juga berkata aplikasi e-Rayuan pula dibuka untuk capaian melalui laman sesawang rasmi kemasukan di upu.moe.gov.my mulai 12 Ogos pukul 12 tengah hari.

Katanya, hanya calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenar mengemukakan rayuan melalui aplikasi ini dalam tempoh 10 hari selepas keputusan rasmi diumumkan.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 22 Ogos, pukul 12 tengah malam.

Keputusan pemilihan rayuan adalah tertakhluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di IPTA selepas pendaftaran pelajar baharu.

"Tawaran adalah muktamad. Jika tiada sebarang jawapan diterima daripada IPTA sehingga 30 Sept, maka rayuan itu hendaklah dianggap gagal," katanya.

Beliau berkata tarikh pendaftaran pelajar baharu di IPTA ialah pada 1 dan 2 Sept.

_____________________
Sumber : BERNAMA

BN sokong keputusan Sultan Selangor kekal Abdul Khalid jadi MB

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) menyokong penuh keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan pusat pada masa sama mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Abdul Khalid untuk terus berkhidmat kepada Selangor.

Muhyiddin menjelaskan kesinambungan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar adalah sangat penting demi kebajikan rakyat Selangor.

Sebagai contoh, dalam usaha mengatasi masalah air di Selangor, Kerajaan Pusat memerlukan pemimpin yang boleh memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Saya telah pun berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berada di luar negara tadi untuk mendapatkan hala tuju BN. Saya nak nyatakan di sini bahawa atas beberapa dasar, sebab dan prinsip Barisan Nasional menyokong status Abdul Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

"Kita juga tidak melihat kewajaran tentang perubahan kepimpinan yang nak dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Selangor. Kerana apa yang penting ialah soal kesinambungan kepimpinan, nasib rakyat Selangor, krisis yang boleh menyebabkan terjejasnya bukan sahaja di Selangor tetapi Wilayah Persekutuan dan Malaysia kerana Selangor merupakan sebuah negeri yang penting," katanya selepas Mesyuarat Jawatan Kuasa Kabinet mengenai pelancongan di Putrajaya di sini.

Muhyiddin melihat, perubahan kepimpinan di Selangor antara lain boleh menjejaskan usaha kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam menyelesaikan krisis air di sekitar Lembah Kelang.

"Kebimbangan kami di sini adalah apabila ada kenyataan daripada sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menyokong Abdul Khalid membayangkan perjanjian air Selangor akan dipinda dan dikaji semula sekiranya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan menteri besar," katanya.

Jelasnya, situasi itu kelak akan memberi kesan besar kepada rakyat Selangor sendiri selain membabitkan beberapa masalah berkaitan kebajikan rakyat negeri itu.

"Jadi sokongan kita ini tidak bersyarat dan ikhlas. Kalau saudara tanya apa kita dapat , kita tidak tahu apa kita dapat. Kita cuma hendak melihat keadaan di Selangor menjadi stabil dan yang penting sekali yang diutamakan oleh kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat ialah ADUN kita yang 12 (di Selangor) itu akan menyokong Abdul Khalid kalau ada usul undi tidak percaya dibuat terhadap beliau."

Kerajaan pusat menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebelum ini menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan kerajaan negeri Selangor bagi menangani krisis air di Lembah Kelang.

_____________
Sumber : Harris Hardy Hakim, Astro Awani | Kemas kini: Ogos 11, 2014
(Diterbitkan pada: Ogos 11, 2014 21:48 MYT)

Projek Kediaman Tidak Terima Kesan GST

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang merancang membeli rumah tahun depan selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April tidak perlu bimbang dengan harga tinggi kerana pasaran hartanah akan dipantau dengan rapat bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.

Pengarah eksekutif kanan Grant Thornton International Ltd Lorraine Parkin berkata pemaju perlu mematuhi sistem modal pasaran yang dilaksanakan oleh peserta dan pengawal selia dalam industri agar tidak mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan mereka.

"Dalam perniagaan pembangunan hartanah dan pembinaan, semua bekalan perkhidmatan pembinaan akan tertakluk kepada GST pada enam peratus dan semua bekalan hartanah komersil dan tanah juga sama.

"Pembangunan kediaman serta bangunan ibadat, tanah perkuburan dan tanah pertanian dikecualikan daripada GST," katanya.

Parkin berkata demikian selepas taklimat mengenai "Peluang Hartanah dan Pembinaan bagi Pemaju Hartanah dan Kesan GST kepada Industri Hartanah Malaysia," di sini, hari ini.   

Perniagaan pembangunan hartanah dan pembinaan boleh menuntut semula semua GST yang dikenakan ke atas kos dalam menjalankan dan menjayakan perniagaan mereka, katanya.

Beliau berkata walaupun GST tidak akan dikenakan ke atas pembangunan kediaman, ia akan memberi kesan kepada kos membinanya dan ini mungkin disalurkan kepada harga hartanah.

Bagaimanapun, beliau berkata, projek pemaju hartanah mungkin tidak berjaya dari segi jualan sekiranya mereka meletakkan bayaran tambahan ke atas hartanah.    

Sementara itu, Ketua Industri Global Real Estate and Construction and Tax Partner, Sian Sinclair, berkata jualan bagi pasaran hartanah Malaysia mungkin tinggi sebelum pelaksanaan GST tetapi akan perlahan selepasnya.

Ini adalah trend normal, katanya, sambil menambah Australia berdepan trend yang sama apabila GST 10 peratusnya diperkenalkan dahulu. - Bernama

_____________________________
Sumber : Berita Harian Online ( 11 Ogos 2014 )

Semakan Keputusan Kemasukan IPTA Lepasan STPM / Setaraf 2014



Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA bagi Lepasan STPM / Setaraf Sesesi Akademik 2014 / 2015 boleh disemak bermula jam 12.00 tengah hari , 12 Ogos 2014 sehingga 11.59 malam , 11 September 2014 melalui laman sesawang Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar ( Jabatan Pengajian Tinggi , Kementerian Pendidikan Malaysia )  atau menyemak menggunakan sistem pesanan ringkas ( SMS ) . 



El Niño

Apakah El Niño?

Setiap dua ke tujuh tahun, arus laut yang panas menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan. Fenomena lautan yang ini disebut sebagai El Niño. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang lebih luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan peristiwa cuaca luar biasa yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, berlaku keadaan cuaca lebih kering dari normal sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya mengalami keadaan lembap.

      Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Biasanya ia terbentuk pada pertengahan tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya. El Niño yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.


Bagaimana El Niño dikaitkan dengan keadaan atmosfera?

      Semasa El Niño berlaku, suhu air laut yang lebih panas di tengah dan timur Lautan Pasifik membekalkan haba dan lembapan tambahan kepada atmosfera yang berada di atasnya. Ini mendorong pergerakan menaik yang kuat dan dengan demikian merendahkan tekanan permukaan di dalam kawasan berpergerakan menaik itu. Udara lembap yang naik itu terpeluwap lalu membentuk kawasan ribut petir yang luas dan hujan lebat di kawasan berkenaan. Di bahagian barat Pasifik termasuk Malaysia, tekanan atmosfera meningkat, menyebabkan cuaca menjadi lebih kering secara relatifnya.

Semasa El Niño terbentuk, tekanan permukaan atmosfera rendah terletak di permukaan lautan yang lebih panas ditandakan dengan warna merah di khatulistiwa tengah Pasifik. Semasa ketiadaan El Niño atau keadaan normal, tekanan permukaan atmosfera di Pasifik barat biasanya rendah manakala di tengah dan timur Pasifik adalah tinggi. Dalam keadaan ini, umumnya keadaan kawasan Pasifik barat adalah lembap manakala Pasifik tengah dan timur adalah kering.

(Sumber Diagram: NOAA)

Corak tekanan permukaan atmosfera yang berselang-seli di kawasan tropika Lautan Pasifik, yang mana keadaan lautan bertukar dari El Niño kepada keadaan normal dan sebaliknya dikenali sebagai Ayunan Selatan (SO). Gandingan hubungan di antara atmosfera dan lautan semasa kejadian El Niño ini dikenali sebagai El Niño-Ayunan Selatan (ENSO).

__________________

Sunday, 10 August 2014

Semak Harga Dalam Talian

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
Menteri Kewangan Kedua
Pelaksanaan GST: 10,000 produk disenarai dalam pangkalan data mudahkan pengguna

Batu Pahat: Panduan Pembeli yang akan menyenaraikan harga lebih 10,000 produk secara dalam talian mampu menyekat kenaikan harga barangan apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April depan. 

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pangkalan data untuk senarai harga barangan di seluruh negara yang sedang dibangunkan itu, dijangka beroperasi Januari depan. 

Katanya, pangkalan data itu membolehkan penguatkuasaan undang-undang lebih cekap, cepat dan menyeluruh dapat diambil terhadap pihak yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

_____________________
Suntingan : Berita Harian ( NASIONAL )
Semak harga dalam talian
2014/08/11 - 05:49:36 AM Oleh Mohamed Farid Noh

Thursday, 7 August 2014

Tanaman padi Aerob di Melaka giat diperluaskan

Padi Aerob Varieti MRIA 1 : Jimat penggunaan air

JASIN - Kerajaan negeri Melaka akan memperluas penanaman padi Aerob daripada 10 hektar sekarang kepada 60 hektar di kawasan sekitar negeri itu menjelang akhir tahun ini.
   
Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka Datuk Hasan Abdul Rahman berkata padi itu kini ditanam di kawasan sawah Kampung Sempang Merlimau di sini di bawah projek perintis yang disertai enam pesawah sejak 25 April lepas.
   
Penanaman padi Aerob ditumpukan di kawasan sawah padi yang tidak mempunyai saliran air yang baik dan kekurangan punca sumber air semulajadi.
   
"Tanaman padi Aerob hanya memerlukan 50 peratus air dengan kelembapan tanah biasa berbanding padi lain. Ia berupaya menghasilkan pengeluaran tiga kali setahun dengan tempoh matang untuk penuaian hasil padi antara 79 hingga 90 hari," katanya.
   
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penuaian Ladang Padi Aerob Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Mardi Dr Umi Kalsom Abu Bakar.
Hasan berkata padi Aerob juga boleh memberi pulangan lumayan kepada petani iaitu RM2,500 bagi satu tan benih padi.
   
Menurutnya sebanyak 800 hektar kawasan tanah sawah terbiar dikenal pasti untuk projek tanaman padi itu termasuk di kawasan Bukit Rambai, Sungai Rambai, Serkam, Sempang, Tedong, Masjid Tanah dan Alor Gajah.
   
Pelaksanaan projek padi Aerob secara meluas diharap mampu menjadikan Melaka sebagai pembekal utama benih padi Aerob bagi zon selatan di Semenanjung.
   
"Kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan status itu. Kita juga berharap memperoleh peruntukan dan infrastruktur lebih baik dan canggih dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya. - Bernama


_______
Suntingan : Sinar Harian edisi Melaka dan Negeri Sembilan ( 5 Ogos 2014 )

Jawatankuasa Koordinasi terima mangsa MH17 ditubuh




HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kabinet bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Koordinasi bagi menerima mangsa-mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang akan diterbangkan dari Belanda.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu dicapai selepas perbincangan lanjut mengenai persediaan rapi bagi menyambut dan memberi penghormatan terakhir kepada warganegara Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu.
''Jawatankuasa Koordinasi ini akan dinaungi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dianggotai oleh 10 menteri yang berkenaan manakala saya selaku Menteri Pertahanan dipertanggungjawabkan mengkoordinasi Jawatankuasa Koordinasi tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara (SAM) ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.

Pesawat dengan 298 penumpang dan anak kapal itu terhempas di wilayah Donetsk di timur Ukraine, sebuah wilayah yang dikawal oleh puak pemberontak pro-Rusia.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa koordinasi tersebut akan diadakan esok pada pukul 12 tengah hari di Kementerian Pertahanan dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Sebelum itu, jelasnya, beliau terlebih dahulu akan mempengerusikan satu mesyuarat khas di peringkat Kementerian Pertahanan pada sebelah pagi.
"Selain itu, Jawatankuasa Operasi melibatkan pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi yang berkenaan telah mengadakan dua mesyuarat penyelarasan pada 25 dan 31 Julai lalu berhubung perkara ini," katanya.

___________________

Sumber : -utusan