Sunday, 21 February 2016

Henti Fitnah, Jangan Politikkan Tabung Haji- Abdul Azeez



BALING - Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, meminta pihak yang tidak bertanggungjawab supaya berhenti menyebarkan fitnah mengenai Tabung Haji.
Beliau menyifatkan tindakan pihak berkenaan cuba meracuni rakyat, terutama pendeposit Tabung Haji, sebagai bermotifkan politik semata-mata.
"Kalau nak serang saya, seranglah saya dari segi politik tapi jangan serang saya melalui isu Tabung Haji tanpa usul periksa...hentikanlah," katanya kepada pemberita selepas Program Melestarikan Integriti Tabung Haji Bersama Masyarakat Baling di Dewan Badminton Kupang di sini, Sabtu.
"Tabung Haji akan menanggung subsidi haji sebanyak RM180 juta untuk musim haji tahun ini," katanya.Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap penyebar fitnah berkenaan. Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez berkata pihaknya akan cuba mempertahankan kos menunaikan haji pada tahun ini iaitu RM9,980 bagi jemaah haji yang pertama kali menunaikan Rukun Islam kelima itu - BERNAMA

Edit Logo PDRM, Anak Muhyiddin Yassin Akan Dipanggil



KUALA LUMPUR - Gara-gara memaparkan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah disunting dengan imej karung wang yang dimuatnaik ke akaun Instagram, anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil oleh pihak polis bagi memberikan penjelasan berkenaan gambar tersebut.
Menerusi laman Facebook dan akaun Twitternya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyatakan bahawa pihaknya akan memanggil Farhan Yassin bagi mendapatkan penjelasan.
“PDRM akan panggil Farhan Yassin untuk dia jelaskan apa yang dimaksudkan dengan tanda karung wang di Crest PDRM yang beliau siarkan di Instagramnya," kata Khalid.
Imej tersebut bagaimanapun telah dipadam dari akaun Instagram Farhan- klxpress.com.my

.