Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berusia 22 tahun itu di tingkat G, Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.47 petang, 11 Julai lalu. Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela. Ketiga-tiga tertuduh yang duduk di kandang tertuduh dilihat tenang sepanjang prosiding.Sebaik sahaja selesai prosiding salah seorang daripada tertuduh terbabit berkata ‘berani buat, berani tanggung’kepada beberapa wartawan yang membuat liputan kes itu.Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Joy Jothi pula memohon mah­kamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan kes itu mendapat perhatian di seluruh negara dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.Mengikut fakta kes, pengadu, Mohamad Khairul Azmi Mazlan, 22, bersama rakannya, Shahrul Anuar telah pergi ke sebuah kedai telekomunikasi bagi mengesan telefon bimbitnya yang hilang pada pagi hari kejadian.

Selepas puas mencari hampir satu jam setengah, Mohamad Khairul dan mangsa beredar dari tempat itu untuk ke tingkat bawah menggunakan eskalator.Tiba-tiba Mohamad Khairul terdengar suara orang menjerit ‘tahan, tahan, tangkap, tangkap ada curi telefon’ dari arah belakang dan dia menyedari Sharul Anuar tidak turun bersamanya.Apabila Mohamad Khairul lari menuju ke tingkat atas, dia melihat rakannya itu sedang dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai jurujual kedai telefon bimbit.Tindakan Mohamad Khairul untuk cuba membantu mangsa mendatangkan padah apabila dia turut dibelasah serta dituduh bersubahat dalam insiden itu.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk disoal siasat. Bagaimanapun Mohamad Khairul dibebaskan selepas tiada bukti yang mengaitkan dirinya dengan kejadian itu, sementara rakannya dituduh di mahkamah atas pertuduhan mencuri telefon bimbit.Shahrul Anuar telah dihadapkan ke mahkamah pada 14 Julai lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri telefon bimbit dalam kejadian itu.Kes terhadap Shahrul Anuar yang diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, akan disebut semula pada Jumaat ini.-Utusan Malaysia