Thursday, 29 October 2015

Antara intipati bajet 2016


Berikut ialah antara intipati Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga menteri kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.
Bajet 2016 bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat".
Bajet 2016 menggariskan lima tunjang utama iaitu memperteguh ketahanan ekonomi negara, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, mempersiaga modal insan, memperkasa agenda bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat.
* Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion, berbanding RM260.7 bilion
   peruntukan     dipinda 2015.
* RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM52 bilion untuk   perbelanjaan
  pembangunan
* RM70.5 bilion untuk emolumen, RM36.3 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan
* Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan RM30.1
   bilion
*Peruntukan untuk sektor sosial merangkumi pendidikan dan latihan,      kesihatan,  
  perumahan dan kesejahteraan masyarakat RM13.1 bilion
* Peruntukan sektor keselamatan RM5.2 bilion
* Kutipan hasil kerajaan Persekutuan untuk 2016, diunjurkan RM225.7 bilion,
   meningkat RM3.2 bilion berbanding 2015.
* Defisit fiskal kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.
* Sasaran sumbangan pelaburan domestik kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi   
   tahun 2016
* Pembangunan Malaysian Vision Valley dengan unjuran pelaburan permulaan RM5
   bilion
* Pembangunan Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan RM11
   bilion
* Pembangunan Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA dengan pelaburan
   RM7 bilion
* Pelaburan RM6.7 bilion oleh Khazanah Nasional dalam sembilan projek domestik  
   berimpak tinggi
* Projek RAPID Complex Pengerang, Johor dengan pelaburan dianggarkan RM18
   bilion
* Projek Rubber City di Kedah dengan peruntukan RM320 juta, Taman Perindustrian
   Samalaju, Sarawak (RM142 juta) dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan,   
   Sabah(RM20 juta)
* Elaun Pelaburan Semula Khas dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih
   bagi yarikat sedia ada
* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah
   untuk pembelian rumah
* Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Dis 2017
* Peruntukan RM107 juta untuk melaksanakan Pelan Induk PKS
* Peruntukan RM60 juta untuk Skim Anjakan Usahawan serta Skim Peningkatan
   Kapasiti dan Keupayaan PKS
*Peruntukan RM200juta untuk menubuhkan dana pinjaman SME Technology   
  Transformation Fund di bawah SME Bank
* Membina dan menambah baik pengangkutan rel dan lebuh raya
* RM900 juta untuk projek penyuraian trafik Jalan Tun Razak
* Kajian pembinaan lebuh raya pesisiran pantai Masjid Tanah-Klebang-Jambatan
   Syed Abdul Aziz di Melaka
* RM42 juta untuk membina Lapangan Terbang Mukah, Sarawak, menaik taraf
   lapangan terbang di Kuantan dan Kota Baharu
* Kajian pembesaran landasan Lapangan Terbang di Batu Berendam, Melaka
* Projek sambungan LRT Ampang-Putra Heights siap Mac 2016, Kelana Jaya-Putra
   Heights   siap pertengahan 2016
* Projek MRT Sungai Buloh-Semantan dapat digunakan pada Disember 2016,
   Semantan-      Kajang pada pertengahan 2017
* Projek MRT II Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya bermula suku kedua 2016, siap
   2022
* Projek LRT3 Bandar Utama, Damansara-Johan Setia, Klang mula dibina pada
   2016, siap 2020
* Kerajaan teruskan rundingan High Speed Rail dengan Singapura
* Bus Rapid Transit KL-Klang, Kota Kinabalu akan dilaksanakan
* SKMM sediakan RM1.2 bilion untuk projek jalur lebar luar bandar,
   National Fiber  Backbone Infrastructure, jalur lebar kelajuan tinggi dan sistem 
   kabel dasar   laut
* RM250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi tingkatkan kualiti
   audio visual dan beri nilai tambah kandungan tv
* RM1.4 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan luar bandar
* RM878 juta untuk projek Bekalan Elektrik Luar Bandar kepada 10,000 rumah
* RM568 juta untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar kepada 3,000 rumah
* Kerajaan sasar 30.5 juta pelancong pada 2016, menyumbang RM103 bilion
   kepada ekonomi negara
* Permohonan visa secara dalam talian untuk China, India, Myanmar, Nepal, Sri
   Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada
* RM450 juta untuk pelbagai program pertanian berimpak tinggi
* RM190 juta kepada FAMA untuk Program Penurunan Harga untuk tambah 50
   Pasar Tani      dan wujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia
* Penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan 
  Perikanan
* RM235 juta untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan
   Dana  Promosi Eksport di bawah Matrade
* RM877 juta untuk pelbagai usaha teknologi hijau seperti bekalan air bersih
* RM515 juta untuk meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah
* RM41.3 bilion untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi 2016
* Pembinaan 30 sekolah rendah, 27 sekolah menengah, empat MRSM dan lima    
  SBP
* RM135 juta untuk Program Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh
  Bahasa Inggeris
* Had maksimum amaun pelepasan cukai ke atas yuran pengajian dinaikkan
   RM7,000 daripada RM5,000 setahun


Bernama

Buang bayi: Ibu 4 anak ditahan

Zainol Hamid
Zainol Hamid
ALOR SETAR 29 Okt. – Polis menahan seorang wanita berusia 38 tahun yang dipercayai membuang bayi perempuannya sendiri yang baru dilahirkan di dalam mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Ulu Dulang Kecil dekat Yan kelmarin.Wanita berkenaan yang merupakan ibu kepada empat orang anak ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Difahamkan, suspek yang tidak bekerja juga tinggal di rumah yang menjadi lokasi bayi perempuan tersebut ditemukan.Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam bilik air di rumah itu.

“Suspek juga mengaku bayi berkenaan hasil hubungan bersama suami dan telah mengandung tanpa pengetahuan keluarga serta melahirkan bayi tanpa memberitahu sesiapa,” katanya ketika dihubungi di sini.Difahamkan empat lagi anak wanita tersebut berusia antara tujuh hingga 14 tahun manakala suaminya bekerja sebagai buruh kasar di kampung berkenaan.Menurutnya, wanita berkenaan telah direman untuk siasatan lanjut termasuk memboleh­kan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

“Polis masih mengesan uri yang dibuang manakala bayi perempuan seberat 2.86 kilogram terbabit sekarang berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini,” jelasnya.Sementara itu, pemilik rumah yang menjumpai bayi berkenaan, Zainol Hamid, 71, ber­kata, dia tidak me­nyangka bayi perem­puan tersebut dilahirkan oleh menantunya.

“Saya tidak tahu menantu saya mengandung, anak lelaki saya dan menantu tidak ada masalah, bergaduh pun jarang.“Kalau pada hari bayi itu ditemui, menantu saya mengaku dia yang bersalin pasti saya akan bawa dia dan bayi tersebut ke hospital.“Kalau dia beritahu tidak mahu bayi tersebut, saya boleh jaga bersama saudara-mara yang lain,” jelasnya.Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin, Zainol yang merupakan pesawah terkejut apabila menjumpai bayi perempuan masih hidup di dalam mesin basuh di rumahnya. Utusan Online


Thursday, 15 October 2015

‘Air Ajaib’ Pak Anuar semakin terkenal


MELAKA 5 Okt. - Sebaik sahaja melangkah kaki ke teratak milik Anuar Hashim, 58, atau dikenali Pak Anuar ‘Air Ajaib’, pengunjung akan terpegun melihat orang ramai berkerumun di rumahnya semata-mata untuk mengambil air herba yang dinamakan teh herba ajaib.

Anuar kini terkenal di seluruh negara apabila air daripada hasil kajiannya selama 28 tahun menjadi bualan dan rebutan kerana didakwa berupaya menyembuhkan lebih 15 penyakit kronik.Antara penyakit tersebut adalah resdung, rabun mata, tiroid, asma, jantung tersumbat, buah pinggang, mencairkan darah, batu karang, kencing manis, darah tinggi, prostat, buasir, saraf, bisa sendi tulang, Parkinson dan beberapa penyakit kronik seperti kanser, leukemia dan angin ahmar.

Air teh herba yang menjadi bualan kini terkenal bukan sahaja di negara ini malah turut mendapat perhatian rakyat negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand yang sanggup datang ke rumah Anuar di Jalan Solok Kolam 2, Kampung Pengkalan, Batu Berendam di sini.Bapa kepada empat anak itu menemukan khasiat daripada sepohon pokok hiasan yang dirahsiakannya ketika bekerja sebagai tukang kebun di beberapa buah sekolah sekitar negeri ini pada tahun 1987.

Minatnya terhadap pokok hiasan membuatkan dia sendiri mencari dan membuat kajian terhadap pokok yang mampu mengubati pelbagai penyakit dengan minum sendiri air renehan pokok hiasan itu.“Saya sendiri mencuba air tersebut kerana pada ketika itu saya ada masalah kesihatan seperti badan cepat lesu, buasir dan mata saya rabun atau kurang jelas dan selama beberapa bulan saya amalkan dan nampak kesan positif selepas minum air tersebut,” katanya.
Menurutnya, selepas itu dia te­rus memasang niat dengan doro­ngan isterinya untuk membantu orang ramai yang menghidap pelbagai masalah kesihatan dengan mendapatkan air tersebut tanpa menetapkan kadar bayaran, sekadar derma seikhlas hati.Sehingga kini, rumahnya telah dikunjungi lebih 3,000 orang setiap malam sejak beberapa tahun lalu bermula dari pukul 4 petang sehingga 2 pagi.

Katanya, dia yakin dengan keberkesanan air itu setelah mencubanya kepada seorang rakan yang bakal dipotong kaki akibat penyakit kencing manis kronik namun tidak lama selepas itu, kaki rakannya beransur pulih dan tidak memerlukan prosedur supaya dipotong oleh doktor.Tambah Anuar, air yang diperbuat daripada pokok hiasan yang dicampurkan dengan air biasa itu hanya direneh tanpa memerlukan sebarang bahan campuran kimia mahupun pengawet untuk memberi kesan.

“Air ini hanya mampu bertahan selama 24 jam, saya tidak campur barang-barang terlarang, bahan kimia dan pengawet untuk bagi air ini tahan lama kerana saya pentingkan kesihatan,” katanya.Tambahnya, sampel daripada air dan pokok hiasan itu sendiri telah diberikan kepada pihak Kementerian Kesihatan bagi menjalankan kajian saintifik bagi membuktikan tahap keberkesanan air herba itu namun sehingga kini belum ada sebarang keputusan mengenainya.

Sementara itu, kata beliau, di-sebabkan air herba itu diberi secara percuma kepada orang ramai, terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan menjual air herba yang dihasilkannya itu hingga mencecah RM150 sebotol dalam laman sosial.“Saya buat air ini bukan untuk berniaga tetapi untuk menolong orang yang susah dan berpenyakit, namun saya sedih apabila mengetahui ada pihak yang tahu mengenai keberkesanan air ini telah mengambil kesempatan dengan menjual air yang mereka peroleh daripada rumah saya.

“Saya kesal dengan tindakan mereka tetapi yang paling saya kesal apabila orang yang membeli air itu akan dapat kesan sampingan kerana air yang saya buat hanya boleh tahan selama 24 jam.“Saya tidak ada sebarang ejen untuk air ini dan untuk mendapatkannya sila datang ke rumah saya dan ambil sendiri, bukan daripada mereka yang menjualnya di laman sosial kerana bimbang dicampuri dengan bahan kimia bagi menjadikannya lebih tahan lama,” jelasnya. - Utusan Online 

Thursday, 8 October 2015

Mayat sah seorang daripada 7 murid orang Asli yang hilang - Polis


























MURID Orang Asli yang hilang, Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Noreen Yaacob, 10; Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Haikal Yaacob dan Mirsudiar Aluj, 11 (tiada dalam gambar).


GUA MUSANG: Siasatan awal polis mendapati mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di Pos Tohoi malam tadi adalah Sasa Sobrie, 8, iaitu seorang daripada tujuh murid Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu. Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat dan 

pengecaman yang dilakukan ahli keluarga mangsa. "Namun ini bukan keputusan muktamad kerana perlu melalui ujian DNA untuk pengesahan lanjut," katanya. Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui di Sungai Perias kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi jam 7 malam tadi oleh penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada pasukan penyelamat. Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membawa mayat yang 
tersangkut itu ke tebing sungai sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. 

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran. Selain Sasa, pelajar terbabit ialah Mirsudiar Aluj, 11; Noreen Yaacob, 10; Ika Ayel, 9; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina David, 7 kesemuanya berasal dari Pos Tohoi.- BH online








Sunday, 4 October 2015

Segerakan sekolah satu aliran


KUALA LUMPUR 4 Okt. – Pelaksanaan sistem sekolah satu aliran perlu disegerakan jika kerajaan berhasrat mewujudkan sebuah negara bangsa dan melahirkan generasi muda yang fasih berbahasa Melayu serta mengenal erti perpaduan tanpa mempersoalkan kaum-kaum lain.

Ahli akademik, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, sekolah satu aliran tidak akan membunuh kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia kerana bahasa ibunda kaum tertentu seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil masih boleh dipelajari dengan menjadikannya sebagai subjek pilihan di sekolah.Sehubungan itu katanya, kerajaan sebagai pelaksana dasar perlu memanggil semua pihak untuk membincangkan keperluan tersebut dan tidak terlalu defensif serta apologetik jika diasak oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak bersetuju dengan sekolah satu aliran.

“Di Malaysia, situasinya adalah agensi pelaksana terlalu bertole­ransi, memang ada kebaikan dan keburukan tetapi jika kita bercakap soal negara bangsa, de­ngan adanya sistem pelbagai aliran ini menyebabkan bahasa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.“Saya percaya perbezaan kaum adalah kelebihan yang dimiliki negara kita, justeru kita boleh menggunakan kekuatan itu untuk mewujudkan masyarakat yang saling hormat-menghormati serta fasih bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka daripada bangsa yang berbeza-beza,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohd. Ridhuan mengulas ken­yataan Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang berpandangan kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khusus dalam kalangan generasi muda.

Kok Seong dilaporkan berkata, kewujudan sekolah vernakular hanya akan memburukkan keadaan kerana berterusan melahirkan ge­nerasi yang cenderung mengamalkan polarisasi dalam kehidupan.Sementara itu, pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, tanggungjawab untuk mewujudkan perpaduan dan menubuhkan negara bangsa terletak di bahu setiap wakil rakyat, justeru mereka perlu berhenti daripada terus berpolitik dan segera mengambil langkah yang sewajarnya menangani isu yang timbul.

“Wakil rakyat perlu berhenti berpolitik, mereka yang dipilih oleh rakyat ini sepatutnya tahu apa perlu dilakukan jika mahu menubuhkan negara bangsa dan membuat keputusan sama ada sistem yang ada kekal atau berubah,” katanya.Dalam pada itu, Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, peranan mendidik anak-anak untuk fasih berbahasa Melayu tidak terletak di bahu setiap guru sahaja sebaliknya masyarakat terutama ibu bapa perlu turut bertanggungjawab.Katanya, ibu bapa daripada kaum Cina perlu menggalakkan anak-anak mereka bergaul dengan rakan sebaya daripada bangsa lain selepas waktu sekolah kerana ia bukan sahaja membantu mengenali antara satu sama lain malah menjadi latihan pertuturan bahasa Melayu yang berkesan.- Utusan Online 

Friday, 2 October 2015

Kerajaan Akan Putuskan Bina Paip Gas Di Persisiran Pantai


KOTA KINABALU: Kerajaan akan memutuskan tentang cadangan untuk membina saluran paip gas di persisiran pantai di negeri ini.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kementeriannya akan membentangkan cadangan itu kepada kabinet untuk diluluskan dalam tempoh dua bulan lagi.Beliau berkata saluran paip itu akan digunakan untuk menyalurkan gas asli dari Gayang di Kota Kinabalu ke Sandakan untuk membekalkan gas kepada dua loji jana kuasa yang akan dibina di Sandakan.

Menurut beliau Majlis Ekonomi Negara telah meluluskan cadangan untuk mebinaan dua loji janakuasa menggunakan gas di Sandakan, setiap satu masing-masing mempunyai kapasiti 190MW yang menjadikannya 380MW, dari dibina di Tawau yang akan memakan belanja yang tinggi.
“Saluran paip ini kan melalui Tuaran, kota Belud, Kota Marudu dan Beluran dan daerah-daerah ini boleh dibekalkan gas,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Antarabangsa Sistem Elektrik Besar Rantau Asia Oceania (AORC- CIGRE) di sini kelmarin.
“Pada mulannya rancangan untuk membina loji janakuasa 300MW arang batu tetapi ianya ditangguhkan sehingga lewat hampir 10 tahun kerana masalah alam sekitar.“Bagaimanapun kita masih perlu membekalkan bekalan elektrik ke pantai timur berikutan permintaan yang seamkin meningkat, dari itu kita membuat pilihan untuk menggunakan gas tetapi ianya terlalu mahal untuk menyalurkan melalui Keningau dan Banjaran Croker.
“Jadi pilihan lain mereka perlu menggunakan Gas Cecair Asli (LNG) untuk bahan bakar janakuasa di kawasan pantai timur, tetapi bila saya masuk campur, kita kaji semula keadaan ini dan mendapati jika gas dihantar dalam bentuk LNG, tidak banyak industri yang menggunakannya untuk jumlah yang besar, ia hanya akan memberikan faedah sebilangan kecil.Dalam hubungan ini selepas berbincang dengan kerajaan negeri, kita memutuskan untuk menyalurkan gas ke Sandakan melalui saluran paip jadi daerah-daerah di sepanjang laluan itu boleh menggunakannya, ini seperti yang dilakukan di semenanjung Malaysia yang memberikan faedah pekan-pekan di sepanjangnya, yang menyumbang pembangunan di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Dr Maximus berkata bekalan elektrik boleh disalurkan dari Sandakan ke Lahad Datu dan Tawau melalui peningkatan talian transmisi.Beliau berkata kementeriannya akan berunding dengan Petronas tentang projek saluran paip ini tetapi belum lagi dimukamadkan.Katanya, kebimbangan pencemaran alam sekitar menggunakan arang batu tidak berasas memandangkan teknologi moden yang boleh digunakan masa kini.
“Bagi saya kebimbangan ini tidak berasas, saya mempunyai latar belakang siantis, dengan adanya teknologi hari ini ianya tidak menjadi isu lagi,” katanya sambil menambah terdapat loji jankuasa menggunakan arang batu di Singapura, di tengah-tengah bandaraya Tokyo, tetapi apa boleh buat, kita perlu menghormati keputusan rakyat. Beliau juga memberitahu kerajaan telah meluluskan pembinaan empangan hidroelektrik yang mampu menghasilkan 180MW di Ulu Padas, Beaufort tetapi TNB, SESB dan kerajaan negeri perlu menjawab tawaran berkualiti ini.Dr Maximus berkata perbincangan akan diadakan untuk memuktamadkan projek ini yang akan ditamatkan pada Januari tahun depan.
Empangan Ulu Padas adalah sebahagian daripada bantuan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan bekalan elektrik yang bertambah biak di Sabah. Disamping itu, kata Dr Maximus termasuk sokongan atau pembaharuan semula tiga set 30MW generator lama di Lahad Datu.
Terdahulu dr Maximus dalam ucapannya Malaysia sedia menyertai inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG. Beliau berkata pada masa depan, inisiatif itu mungkin memasukkan rangkaian hubungan antara Malaysia dan Indonesia (Sumatera), Semenanjung dan Sarawak, Inter-Borneo Sarawak dan Sabah, serta Sabah dan Filipina.
“Sejak lima tahun lepas, kami mengadakan perbincangan serius berkaitan perkara ini. Cadangan keseluruhannya, sudah tentulah, saling hubungan dan perkongsian sumber dan sebagainya.“Seperti yang pernah saya katakan, memang diakui bahawa sebelum memperkatakan tentang rangkaian saling hubung ini, kita perlu pastikan segala urusan berada dalam keadaan baik.“Melainkan grid nasional kita mantap dan lestari, barulah kita boleh mengunjurkan tentang mengeksport dan mengimport tenaga.
“Saya rasa grid Malaysia cukup mantap dan lestari, selain menepati standard antarabangsa. Kami sedia menyertai grid saling hubung di bawah APG,” katanya.Ongkili bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Majlis Antarabangsa Sistem Elektrik Besar Rantau Asia Oceania (AORC-CIGRE) di sini kelmarin.Mesyuarat lima hari itu, yang julung kali diadakan di Sabah, dihadiri 42 negara anggota CIGRE. Mesyuarat tahun ini dianjurkan JawatankuasaCIGRE Nasional Malaysia (MNC-CIGRE).
Turut hadir pada majlis ini ialah Presiden CIGRE Dr Klaus Frohlich, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Nadzri Yahya, Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Abdul Razak Majid dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie.
New Sabah Times