KUALA LUMPUR 25 Nov. - Seniman Negara, Tan Sri P. Ramlee diisytiharkan Tokoh Warisan Negara sebagai menghargai bakat, kebolehan dan sumbangan besar Allahyarham kepada bidang seni di negara ini.
Selain itu, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) juga akan dinaik taraf menjadi universiti dan dinamakan semula sempena nama tokoh yang karya seninya melangkaui zaman tersebut.Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan besar yang dimainkan P. Ramlee terutamanya dalam menyatukan rakyat.
“Saya bersetuju dengan cadangan Pokok Sena (Datuk Mahfuz Omar) dan berharap pada sesi pengundian nanti, Yang Berhormat semua menyokong,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.Dalam perkembangan berasingan, Mohamed Nazri memberitahu penghapusan visa bagi pelancong dari China akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini selepas mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri.
Bagaimanapun, katanya, pelbagai syarat dikenakan sebelum pengecualian visa boleh diberikan kerana kerajaan tidak mahu berkompromi dengan isu keselamatan walaupun menyedari kehadiran pelancong China adalah penting.
Antara syarat tersebut jelasnya, mereka perlu datang secara berkumpulan (minimum dua orang), menggunakan agensi pelancongan yang berdaftar dengan kementerian dan dihadkan 15 hari sahaja untuk setiap kemasukan.“Kemasukan pelancong China ke negara ini juga mesti melalui lapangan terbang antarabangsa sahaja, dilarang memohon pas kedatangan lain dan mesti menggunakan penerbangan terus dari China sahaja.
“Kompaun RM1,500 dikenakan ke atas agensi pelancongan bagi kehilangan setiap pelancong, mereka juga perlu mengemukakan jaminan sara diri dalam bentuk wang tunai atau kad kredit dan mesti mengemukakan jadual perjalanan lengkap dengan bukti penginapan,” katanya.- Utusan Online