Monday, 31 March 2014

Jantung bayi diluar badan


New Delhi: Sepasang suami isteri miskin merayu bantuan kewangan untuk menyelamatkan nyawa bayi lelaki mereka yang lahir dengan jantungnya di luar badan.

Priyanka Pal, 24, melahirkan anaknya itu di Hospital Sultanpur, Uttar Pradesh Rabu lalu, namun terkejut dan sedih apabila mendapati bayi berkenaan lahir dengan keadaan dikenali sebagai ectopia cordis yang melihat jantungnya terkeluar daripada dada.

Bayi itu kini memerlukan pembedahan kecemasan untuk mengelak maut dalam tempoh beberapa hari ini.

Keadaan itu amat jarang berlaku malah hanya dilihat dalam lapan daripada sejuta kelahiran dengan 90 peratus bayi terbabit mati ketika dilahirkan atau dalam tempoh tiga hari pertama.

PRIYANKA bersama anaknya.

Namun, bayi berkenaan - yang belum diberi nama - agak ‘ajaib’ apabila setakat ini berjaya bertahan sehingga hari keenam.

Malangnya, dia masih memerlukan pembedahan di sebuah hospital swasta kerana hospital kerajaan tidak mempunyai kemudahan untuk prosedur rumit itu.

Keluarga itu terlalu miskin dan hanya bergantung kepada pendapatan suami Priyanka, Nirbhay Pal iaitu hanya sekitar 300 rupee (RM16) sehari.

Nirbhay, 30, yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, kakitangan hospital memberitahunya anaknya tidak mungkin dapat hidup lama jika tidak menjalani pembedahan itu dan memerlukan rawatan di hospital dengan kemudahan lebih moden.

“Doktor berkata kami perlu mendapatkan rawatan di hospital swasta.

“Namun, kami terlalu miskin. Nak makan dua kali sehari pun belum tentu kami mampu, apatah lagi untuk ke hospital swasta,” katanya. - Agensi

Wednesday, 26 March 2014

Pelakon dan Penyanyi komedi negara Dato Ali Mamak disahkan meninggal dunia

Pelakon dan Penyanyi komedi negara Dato Ali Mamak disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi tadi akibat komplikasi paru-paru. Kita sedekahkan Alfatihah semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang yang beriman...

Kau Tidak Akan Jumpa Kubur Aku - Kapten Zaharie

MH370, Kau Tidak Akan Jumpa Kubur Aku - Kapten Zaharie



Juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah pernah bergurau kepada kenalan rapatnya bahawa rakannya itu tidak akan menjumpai pusaranya menjadi petanda yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.

Bernama melaporkan, Mohaza Mohaza, kenalan rapat kepada Zaharie berkata, dia tidak menyangka bahawa gurauan juruterbang itu pada Aidilfitri lalu di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Pulau Pinang merupakan satu kiasan untuk pergi meninggalkan semua.

“Zaharie memberitahu saya (secara gurauan) yang saya tidak akan jumpa kubur atau pusaranya. Inilah rupa maksudnya. Baru saya mengerti. Pusaranya di Lautan Hindi.



“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke atas rohnya dan juga muslimin muslimat pesawat MH370 kesemuanya serta ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Amin,” katanya.

Anak kepada Zaharie, Ahmad Idris Zaharie turut berkongsi rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari sahabat serta kenalan bapanya.

Di laman Facebook ‘Friends of Captain Zaharie MH370′, Ahmad Idris menulis;

“Terima kasih semua untuk sokongan yang diberikan. Aku bersyukur kepadamu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang berdedikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini. Al-Fatihah.”

- SUMBER

Sunday, 23 March 2014

Hati mereka berpenyakit - Jamil Khir



MUAR 23 Mac - Mereka yang memperlekeh program Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul mempunyai hati yang berpenyakit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, apabila pembangkang memperlekeh program yang berjaya menghimpunkan 500,000 umat Islam di Putrajaya pada Jumaat lepas, bermakna mereka kecewa dengan sambutan ratusan ribu yang menyertainya.
Pada malam itu kebanyakan yang hadir berpakaian serba putih, membanjiri Dataran Masjid Putra Presint 1 dan sepanjang jalan Kompleks Pusat Pentadbiran Putrajaya sehinggakan diumpamakan sebagai himpunan di Padang Arafah pada musim Haji dengan penuh ketertiban.
"Sebagai umat Islam, sepatutnya mereka bersyukur kerana program itu berjaya menghimpun sebegitu ramai umat tanpa mengira fahaman politik, bersama-sama menunjukkan rasa cinta kepada Rasul dan taqwa kepada Allah," katanya ketika memberi ceramah sambutan Maulidur Rasul di Masjid Nurul Iman, Parit Bakar Laut, di sini malam tadi.
Jamil Khir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, pihak pembangkang mahu melihat program yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet beragama Islam itu, hanya dihadiri oleh beberapa ratus orang sahaja.
"Pihak pembangkang melihat dari sudut yang buruk sahaja sedangkan program itu adalah untuk membina persepsi baik terhadap Islam yang kini dicemari dengan pelbagai imej negatif," katanya.
Dalam ceramahnya, Jamil Khir turut mendedahkan bagaimana seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoal kononnya pemimpin kerajaan tidak mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan penumpang pesawat MH370 yang hilang lebih dua minggu, sejak 8 Mac lepas.
"Oleh kerana didesak melalui khidmat pesanan ringkas tiga kali sehari daripada pemimpin NGO berkenaan, saya terpaksa menghubunginya dan menyatakan bahawa perdana menteri dan semua menteri-menteri kabinet serta timbalan menteri adalah kumpulan pertama mengadakan solat hajat selepas zuhur sebaik sahaja menerima berita kehilangan pesawat, 8 Mac lalu," katanya.
Jamil Khir berkata, beliau tidak gemar menggembar-gemburkan kerja ibadah kepada umum tetapi apabila ditekan bertalu-talu, beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa menghebahkannya
"(Malah) kita bukan fikirkan orang Islam semata-mata tetapi semua penumpang dari pelbagai negara dalam pesawat itu," katanya.
Beliau turut meminta semua umat Islam terus berdoa dengan mengerjakan solat hajat untuk keselamatan penumpang dan krew MH370. - Utusan online 

Wednesday, 19 March 2014

Malaysia sudah terima data radar









SEPANG 19 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Malaysia telah menerima data radar dari sesetengah negara tetapi tidak mendedahkan nama negara berkenaan.
Hishammuddin berkata, data tersebut adalah sesuatu yang sensitif dan beliau tiada kuasa untuk mendedahkan maklumat berkenaan.
"Permintaan Malaysia telah mendapat maklum balas yang baik daripada negara lain, tetapi ini bukan masa untuk mendedahkan maklumat ini," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua 26 negara yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat penumpang pesawat MH370 telah bersetuju secara lisan untuk menghulurkan bantuan kepada Malaysia.
"Malaysia turut menghantar surat rasmi kepada negara-negara ini meminta kerjasama mereka.
"Aset akan dimobilisasikan untuk usaha mencari dan menyelamat di dua koridor ini sebaik sahaja semua prosedur diplomatik diselesaikan," katanya.
Menurut beliau, pasukan teknikal yang bertanggungjawab dalam usaha mencari dan menyelamat telah dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu pasukan diplomatik yang dipimpin Kementerian Luar, pasukan penghantaran aset yang dipimpin tentera manakala Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengawal operasi secara keseluruhannya.
"Usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 melibatkan cabaran dari segi diplomasi, teknikal dan logistik," katanya.- utusan Malaysia



Tuesday, 18 March 2014

Pelajar Hilang Di Gunung Bubu Ditemui Mati

 Gambar Hiasan ( Metro )

KUALA KANGSAR 18 Mac - Dua daripada empat pelajar Tingkatan 5 Kolej Vokasional Kuala Kangsar yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Bubu di Ulu Kenas dekat sini sejak petang kelmarin ditemui mati hari ini. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Mat Rabawi Abd. Jalil berkata, mayat Adam Asyraf Azuaan dan Mohd. Amir Asyraf ditemui di dalam sebatang sungai di gunung berkenaan pada pukul 3.20 petang ini. 

Menurutnya, ketika ini usaha sedang dilakukan oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat untuk membawa turun mayat kedua-dua pelajar berkenaan 
dari kawasan gunung. 

Katanya, dua lagi pelajar iaitu Mohd. Putera Rafii dan Siti Azimah Mohd. Fitri ditemui dalam keadaan selamat pada pukul 9.30 pagi ini dan mereka sedang dirawat di Hospital Kuala Kangsar. - UTUSAN ONLINE

Monday, 17 March 2014

RAJA BOMOH SAMAN ANWAR IBRAHIM RM300 JUTA!





SHAH ALAM - Rupa-rupanya tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaitkan nama 'Raja Bomoh' dalam satu ceramah politiknya di Kajang mengundang perasaan marah individu berkenaan. 

Datuk Ibrahim Mat Zin yang dipetik sebuah blog berkata, tindakan Anwar mahu meraih populariti dengan menggunakan namanya sewaktu berkempen sebagai tidak wajar.

Malah Ibrahim turut mendakwa, Anwar sebagai "kacang yang lupakan kulit" kerana melupakan budi yang pernah diberikannya sebelum ini. 

“Saya tidak pernah kenal dia, tapi dia pernah makan budi saya. Masa dia jadi Menteri Pertanian dia datag ke Sungai Manik, Perak. Masa itu dia datang saya sponsor (taja) dia makan. Tapi manusia lupa kulit, tak tahu nak cakap la (jenis) lupa orang. Kita tak lupa dia (tapi) dia lupa kita” katanya.

Beliau turut menjelaskan akan memfailkan saman malu terhadap Ahli parlimen Permatang Pauh itu kerana menggunakan nama dan popularitinya di dalam kempen dan ceramah pilihan raya.

“Anwar Ibrahim kalau dia lantang (bangkitkan lagi isu) saya akan sama malu, kerana dia menjual nama saya ketika (ceramah) pilihan raya kerana dia tidak ada modal.

“Dia cakap dalam Parlimen baru-baru ini, siasat siapa Ibrahim Mat Zin. Jadi dia nak siasat saya, siasat diri sendiri dulu, jangan tuduh orang bukan-bukan," bidasnya. 

Katanya lagi kepada blog berkenaan, Anwar sepatutnya menjaga aib dan masalah sendiri, sebelum sibuk dengan isu orang lain

“Saya akan saman Anwar sebanyak RM300 juta, kalau dia main-mainkan saya. Biadap.. Kamu hakim agama ke? ” tegasnya lagi.

Ketua Umum PKR itu sebelum ini menggesa agar siasatan segera dijalankan terhadap bomoh yang melakukan upacara itu di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kononnya untuk membantu menjejak kehilangan pesawat MH370.

“Saya nak tahu siapa yang suruh, siapa yang membayar mereka, siapa yang membenarkan? Apakah ini bomoh ’1Malaysia’?

“Mana pergi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)? Mana pergi menteri yang membiarkan perkara itu berlaku?

“Bila bomoh buat sebegitu, panggil pula media antarabangsa (buat liputan), tak malukah kita? Ini (perbuatan) syirik,” katanya. - Sinar Harian

Monday, 10 March 2014

Hujah Kapten Norudin Abd Majid misteri pesawat MH370


Lagi Maklumat MH370


Tiada bukti kukuh kaitan Chinese Martyrs Brigade


KUALA LUMPUR 10 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan kehilangan pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan kumpulan Chinese Martyrs Brigade.
"Namun demikian, kita tidak akan melepaskan semua maklumat yang ada," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di Putrajaya dekat sini hari ini.
Kumpulan tidak dikenali itu sebelum ini dilaporkan menghantar kenyataan kepada media China mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat tersebut.
Pelbagai pihak bagaimanapun meragui penglibatan kumpulan itu dalam insiden kehilangan pesawat MH370.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua penumpang pesawat tersebut yang menggunakan pasport palsu merupakan warganegara asing tetapi bukan berasal dari wilayah Xinjiang, China.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, salah seorang daripada mereka telah dikenal pasti identitinya dan tidak pernah memasuki negara ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang telah dikenal pasti itu.
"Kita sedang menyiasat transit negara kemasukan mereka sebelum ke negara ini kerana kedua-duanya tiada dalam rekod Jabatan Imigresen.
"Polis juga telah melihat rakaman video dan mengenalpasti melalui gambar namun mereka bukan etnik Uyghur dari Xinjiang seperti yang dihebahkan.
"Selain itu, polis antarabangsa (Interpol) yang turut sama membantu akan memaklumkan kepada kita jika dua individu tersebut dalam senarai pangkalan data pengganas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang bersama 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar Kawalan Trafik Udara Subang, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam.
Khalid berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan Chinese Martyrs Brigade yang mengaku bertanggungjawab atas kehilangan pesawat seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita dari China.
"Kita akan menjalankan siasatan dari semua aspek dan buat masa ini belum dapat mengesahkan pembabitan pengganas dalam insiden ini.
"Polis juga perlu melihat rekod mereka yang kehilangan pasport dan setakat ini terdapat lebih 40.2 juta orang dilaporkan kehilangan pasport di seluruh dunia," ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalid mengalu-alukan penglibatan pihak luar atau badan-badan risikan mahupun penguat kuasa tempatan untuk bersama-sama menyiasat kehilangan pesawat ini.



Sumber- Utusan


Sunday, 9 March 2014

Elemen keganasan disiasat

KUALA LUMPUR 9 Mac - Selepas lebih 24 jam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang secara tiba-tiba dan gagal dikesan sehingga kini, kerajaan menyiasat sebarang kemungkinan termasuk kewujudan elemen keganasan.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak menolak andaian tentang kewujudan elemen keganasan tersebut berkata, sebarang kemungkinan sedang disiasat pihak berkuasa sebelum kesimpulan dapat dibuat.
Pada masa yang sama, beliau memberi jaminan segala langkah telah dan akan diambil bagi mengesan pesawat MH370 kerana kerajaan amat sedar kegelisahan keluarga mangsa terlibat yang mahu jawapan secepat mungkin.
"Itulah... Kita terpaksa mencari semua kemungkinan. Kita kena siasatan sebelum buat kesimpulan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Penyatuan Nasional 2014 di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Najib mengulas pengesahan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud bahawa kemungkinan besar pesawat MH370 berpatah balik ke Malaysia berdasar petunjuk yang dikesan radar TUDM.
Bagaimanapun kenapa dan pihak mana yang mengarahkan pesawat malang itu berpatah balik kekal misteri kerana tiada sebarang komunikasi berlaku dengan pusat kawalan udara sejak terputus hubungan dengan MH370.
Semalam, laporan media Amerika Syarikat yang memetik kenyataan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga tidak menolak sebarang aspek keganasan atau faktor lain sebagai punca kehilangan pesawat malang tersebut.
Mengenai keperluan menyemak semula protokol keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Najib berkata, kerajaan bersedia berbuat demikian jika ada keperluan tetapi bukan dibuat berdasarkan andaian.
Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri memberitahu, Australia akan menghantar dua pesawat pengesan maritim tercanggih milik negara itu daripada jenis P-3C Orion bagi membantu mengesan pesawat MH370.
Kata Najib, Perdana Menteri Australia, Tony Abbot menghubunginya bagi menawarkan bantuan tersebut atas rasa simpati serta hubungan akrab dua negara dan pesawat P-3C Orion akan berlepas petang ini.
"Sumbangan ini membantu kita. Saya ucapkan terima kasih kepada Abbot. Satu lagi contoh kerjasama masyarakat antarabangsa bantu kita kerana kawasan operasi kini telah diperluaskan dan perlu aset tambahan," katanya.

WARIS penumpang pesawat MAS, Arni Marlina (kiri) tidak dapat menahan kesedihan sambil dipujuk ahli keluarganya ketika menunggu berita perkembangan penumpang MH370 di Hotel Everly, Putrajaya, semalam.

sumber-utusan

Renung-renungkan

Adalah lebih baik dan mulia apa bila kita sama-sama menadah tangan dan berdoa kepada Allah supaya dipelihara nahas MH370. Semoga akan ada keajaiban yang berlaku.
Daripada sibuk menunding jari atas dasar politik..fahaman dan perasaan hati yg sangat tidak membantu. Buang ego dlm hati.
Matangkan jiwa dan ikhlaskan hati. Semoga mangsa MH370 dipelihara Allah... amin

Monday, 3 March 2014

Usaha bantu bumiputera wajar - PM










Najib Tun Razak bersalaman dengan orang ramai selepas merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, malam tadi. - Utusan/ZAINI HUSIN




KUALA LUMPUR 3 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu beliau menegaskan, sebarang bantuan kerajaan ke atas masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan sosial.
Katanya, berbanding pembangkang yang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkasakan ekonomi bumiputera, kerajaan BN di bawah kepimpinan beliau beriltizam dan berjanji akan menyokong serta membantu kaum majoriti itu.
"Api perjuangan hasil Kongres Ekonomi 1965 yang dicetuskan Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam hati sanubari saya. Yakinlah atas semangat itu, saya dan barisan Kabinet pimpinan saya akan terus memperjuangkan pemerkasaan ekonomi bumiputera.
"Sebab itu apabila Mara memohon dana RM400 juta, saya bagi RM800 juta kerana saya tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera terbantut. Saya mahu kesinambungan dan kelancaran program yang dilaksanakan Mara lancar.
"Tetapi saya mahu lihat bumiputera yang dibantu ini layak secara merit iaitu mereka memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus berjaya, bukan pelobi," katanya semasa berucap merasmikan Menara Mara di sini malam ini.
Majlis perasmian tersebut yang bersempena dengan Sambutan 48 Tahun Mara berlangsung dalam suasana yang penuh bersejarah dan gemilang selain turut diserikan dengan persembahan artis tersohor tempatan serta percikan pelbagai jenis bunga api.
Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Najib berkata, Mara adalah sebuah kisah perjuangan yang panjang hasil komitmen serta kesungguhan politik kerajaan BN dan sepanjang 48 tahun kewujudannya, agensi berkenaan telah membantu kira-kira empat juta bumiputera.
Menurutnya, jumlah tersebut adalah besar dan ramai dalam kalangan usahawan dan profesional bumiputera yang berjaya pada hari ini termasuk orang Melayu terkaya di Malaysia iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary, antara produk yang dibantu Mara.
"Inilah yang saya mahu lihat. Usahawan bumiputera yang berjaya dan kemudian mengenang jasa Mara dengan menjelaskan kebaikan Mara dan kerajaan kepada rakyat dan saya mahu lebih ramai anak-anak Mara dilahirkan pada masa akan datang.
"Mereka wajar dibantu kerana sudah tentu tidak adil untuk membandingkan anak-anak yang lahir di Bukit Tunku dengan Hulu Tembeling. Kalau tidak dibantu, nasib anak-anak ini kekal seperti mana kehidupan sedia kala tanpa perubahan," jelasnya.
Menyentuh mengenai Menara Mara, Najib berkata, bangunan setinggi 30 tingkat itu adalah lambang kejayaan kerajaan dan agensi berkenaan membantu serta mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain.
Beliau seterusnya berdoa Mara terus menjadi salah sebuah agensi terunggul bagi menjulang masyarakat bumiputera dalam bidang pendidikan serta keusahawanan melalui pelbagai program komprehensif yang telah dan sedang dijalankan.

Sumber _ Utusan 


Kanak-kanak Islam terdedah fahaman radikal boleh diasingkan dari ibu bapa .







LONDON 4 Mac. - Datuk Bandar London, Boris Johnson menyatakan semalam bahawa kanak-kanak Islam yang dididik dengan fahaman radikal oleh ibu bapa mereka perlu diasingkan daripada keluarganya dan dilayan seperti kanak-kanak mangsa penderaan.
"Kanak-kanak yang berisiko terdedah dengan fahaman Islam ekstrim seharusnya diambil alih oleh kerajaan bagi menghalang mereka menjadi pembunuh dan pengebom berani mati yang berpotensi," kata Johnson dalam satu kenyataan di akhbar The Daily Telegraph.
Kumpulan konservatif pula berkata, terdapat satu pemikiran yang tertanam di dalam masyarakat Britain yang enggan untuk menilai mengenai budaya masyarakat lain, ditambah dengan kelemahan dari segi kejelasan dalam undang-undang sehingga membuat polis dan jabatan khidmat sosial enggan campur tangan.
"Masalah fahaman radikal ini kelihatan tidak ketara tetapi semakin teruk. Namun ia tidak juga akan pergi begitu sahaja. Apa yang penting ialah bagaimana caranya untuk mengelak remaja lelaki dan perempuan dari tunduk kepada virus besar iaitu penularan fahaman pelampau Islam radikal," katanya. - AFP


Simbah petrol, bakar isteri







Rohfadla Daud kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu. - Utusan/Rosni Masri



KOTA BHARU 3 Mac - Dipercayai akibat cemburu buta, seorang lelaki bertindak kejam menyimbah petrol dan membakar isterinya di hadapan rumah mereka di Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.
Lebih menyayat hati, mangsa, Rohfadla Daud, 30, dibakar di hadapan adik dan tiga abangnya yang bergegas ke rumah pasangan itu selepas mangsa menghubungi mereka dan memaklumkan dipukul suaminya.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Rafar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa turut dipukul berkali-kali oleh suspek yang tiba-tiba naik angin.
Beliau berkata, ketika dipukul, mangsa sempat menelefon adiknya, Ahmad Syafiq Ismail, 21, yang berada di Jalan Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini untuk meminta pertolongan.
"Adiknya datang ke rumah bersama tiga lagi abangnya dan melihat suspek sedang memukul mangsa.
"Setelah menyedari kehadiran mereka, suspek bertindak mencurahkan petrol ke atas mangsa dan membakar sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Idris berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana melecur bahagian muka dan kedua-dua tangannya.
Kata beliau, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan pihaknya memohon orang ramai tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali," katanya.


Sumber - Utusan 

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Selangor






NGO Islam kemuka 20 alasan syarie tolak Anwar di DUN Kajang
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR 3 Mac - Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam mengemukakan 20 alasan syarie untukpengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di DUN itu pada 23 Mac ini.




Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh dari parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa pada 27 Januari 2014.



Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali yang membacakan kenyataan akhbar, menyatakan NGO-NGO Islam berpendapat, Anwar tidak memenuhi kriteria untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan terutama apabila menonjolkan diri untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

Antara 20 alasan syarie NGO Islam menolak Anwar antaranya, Ketua Umum PKR itu didakwa berpegang pada fahaman pluralisme dengan menganggap status Islam sama sahaja dengan agama-agama lain.

Anwar juga, kata Dr Hasan, dikaitkan dengan persoalan murtad apabila didakwa bersetuju bahawa memilih pegangan agama adalah hak indidivu apabila seseorang telah mencapai satu tahap umur.

Anwar juga didakwa menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dan bertentangan dengan titah Sultan Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri, katanya.

Hasan Ali berkata, alasan syarie bagi menolak Anwar termasuk didakwa mempamerkan sikap liberal dan menyokong alasan songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta didakwa terlibat dengan gerakan Yahudi antarabangsa.

"Kami membayangkan bencana dan malapetaka sekiranya Anwar menang dan menyebabkan pertembungan antara rakyat di Selangor dan merebak ke seluruh negara.

"NGO-NGO Islam juga meramalkan berlaku pertembungan antara Islam dan bukan Islam kerana fahaman yang dibawa oleh Anwar,"kata Hasan Ali dalm satu sidang akhbar di sini hari ini.

Serentak itu, NGO-NGO Islam akan turun ke DUN Kajang bagi mengajak rakyat menolak Anwar sebaik sahaja proses penamaan calon selesai pada 11 Mac sehingga hari pengundian. 

Turut hadir pada sidang akbar yang berlangsung di rumah Hasan Ali di Taman Tun Dr. Ismail itu adalah Pengerusi Yayasan Murni Akidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dan Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin.- UTUSAN ONLINE

 Sumber - PRK DUN Kajang @ Utusan Live