Tiada bukti kukuh kaitan Chinese Martyrs Brigade
KUALA LUMPUR 10 Mac - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada bukti kukuh menunjukkan kehilangan pesawat MH370 mempunyai kaitan dengan kumpulan Chinese Martyrs Brigade.
"Namun demikian, kita tidak akan melepaskan semua maklumat yang ada," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di Putrajaya dekat sini hari ini.
Kumpulan tidak dikenali itu sebelum ini dilaporkan menghantar kenyataan kepada media China mengaku bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat tersebut.
Pelbagai pihak bagaimanapun meragui penglibatan kumpulan itu dalam insiden kehilangan pesawat MH370.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua penumpang pesawat tersebut yang menggunakan pasport palsu merupakan warganegara asing tetapi bukan berasal dari wilayah Xinjiang, China.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, salah seorang daripada mereka telah dikenal pasti identitinya dan tidak pernah memasuki negara ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu yang telah dikenal pasti itu.
"Kita sedang menyiasat transit negara kemasukan mereka sebelum ke negara ini kerana kedua-duanya tiada dalam rekod Jabatan Imigresen.
"Polis juga telah melihat rakaman video dan mengenalpasti melalui gambar namun mereka bukan etnik Uyghur dari Xinjiang seperti yang dihebahkan.
"Selain itu, polis antarabangsa (Interpol) yang turut sama membantu akan memaklumkan kepada kita jika dua individu tersebut dalam senarai pangkalan data pengganas," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang bersama 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang daripada radar Kawalan Trafik Udara Subang, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam.
Khalid berkata, pihaknya juga sedang menyiasat dakwaan Chinese Martyrs Brigade yang mengaku bertanggungjawab atas kehilangan pesawat seperti dilaporkan dalam sebuah portal berita dari China.
"Kita akan menjalankan siasatan dari semua aspek dan buat masa ini belum dapat mengesahkan pembabitan pengganas dalam insiden ini.
"Polis juga perlu melihat rekod mereka yang kehilangan pasport dan setakat ini terdapat lebih 40.2 juta orang dilaporkan kehilangan pasport di seluruh dunia," ujarnya.
Mengulas lanjut, Khalid mengalu-alukan penglibatan pihak luar atau badan-badan risikan mahupun penguat kuasa tempatan untuk bersama-sama menyiasat kehilangan pesawat ini.
Sumber- Utusan
No comments:
Post a Comment