Monday, 3 March 2014

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Selangor






NGO Islam kemuka 20 alasan syarie tolak Anwar di DUN Kajang
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR 3 Mac - Beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam mengemukakan 20 alasan syarie untukpengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menolak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di DUN itu pada 23 Mac ini.




Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh dari parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa pada 27 Januari 2014.



Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali yang membacakan kenyataan akhbar, menyatakan NGO-NGO Islam berpendapat, Anwar tidak memenuhi kriteria untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan terutama apabila menonjolkan diri untuk jawatan Menteri Besar Selangor.

Antara 20 alasan syarie NGO Islam menolak Anwar antaranya, Ketua Umum PKR itu didakwa berpegang pada fahaman pluralisme dengan menganggap status Islam sama sahaja dengan agama-agama lain.

Anwar juga, kata Dr Hasan, dikaitkan dengan persoalan murtad apabila didakwa bersetuju bahawa memilih pegangan agama adalah hak indidivu apabila seseorang telah mencapai satu tahap umur.

Anwar juga didakwa menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dan bertentangan dengan titah Sultan Selangor dan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Negeri, katanya.

Hasan Ali berkata, alasan syarie bagi menolak Anwar termasuk didakwa mempamerkan sikap liberal dan menyokong alasan songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta didakwa terlibat dengan gerakan Yahudi antarabangsa.

"Kami membayangkan bencana dan malapetaka sekiranya Anwar menang dan menyebabkan pertembungan antara rakyat di Selangor dan merebak ke seluruh negara.

"NGO-NGO Islam juga meramalkan berlaku pertembungan antara Islam dan bukan Islam kerana fahaman yang dibawa oleh Anwar,"kata Hasan Ali dalm satu sidang akhbar di sini hari ini.

Serentak itu, NGO-NGO Islam akan turun ke DUN Kajang bagi mengajak rakyat menolak Anwar sebaik sahaja proses penamaan calon selesai pada 11 Mac sehingga hari pengundian. 

Turut hadir pada sidang akbar yang berlangsung di rumah Hasan Ali di Taman Tun Dr. Ismail itu adalah Pengerusi Yayasan Murni Akidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dan Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin.- UTUSAN ONLINE

 Sumber - PRK DUN Kajang @ Utusan Live

No comments:

Post a Comment