Tuesday, 13 May 2014

Gadis hilang ditemui hasil maklumat orang ramai




























MELAKA 13 Mei - Tidak sampai 24 jam berita mengenai kehilangan Nur Rabiatul Afiqah Nizam, 17, dilaporkan secara meluas di akhbar, gadis tersebut berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat kelmarin.
Bapa gadis berkenaan, Nizam Tamby, 41, berkata, beberapa pihak tampil memberi maklumat mengenai lokasi anak gadisnya itu berada sejurus berita mengenai kehilangannya disiarkan.
Menurutnya, hasil maklumat itu, dia kemudian terus meng­hubungi pihak polis serta beberapa kenalan untuk membantu menjejak lokasi anaknya.
“Tindakan pantas pihak polis kemudian berjaya menemui Nur Rabiatul di sebuah rumah di Kampung Tanah Merah dekat Krubong di sini dalam keadaan selamat dipercayai dikurung oleh seorang lelaki.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak polis, Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri serta pihak media yang banyak membantu serta pantas menyelesaikan kes ini," katanya ketika ditemui di Pejabat Pembela BN negeri, Ayer Keroh di sini semalam.
Sementara itu, Nurul Rabiatul memberitahu, dia dilarikan seorang lelaki yang dikenalinya, yang kemudian bertindak mengurungnya di dalam sebuah bilik dan tidak dibenarkan keluar.
“Lelaki itu membawa saya dari tempat kerja dan meninggalkan saya di rumah saudaranya malah berkeras tidak membenarkan saya pulang ke rumah serta mengurung saya dalam sebuah bilik," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz berkata, dia bersyukur kerana gadis tersebut dapat ditemui dalam tempoh singkat dan tidak dicederakan atau diapa-apakan oleh lelaki berkenaan.
“Pembela juga sedang berusaha mencari jalan untuk memberi peluang kepada gadis ini me­lanjutkan pelajarannya ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT)," jelasnya.
Sebelum ini, Nur Rabiatul dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 30 April lalu setelah dilarikan seorang lelaki yang dikenali dan menaiki motosikal di tempat kerjanya di Malim di sini. -Utusan Melayu



No comments:

Post a Comment