Wednesday, 27 May 2015

Kem pemerdagangan guna pengawal penembak tepat

Seorang  anggota polis mengawal kawasan kem pemerdagangan manusia

Seorang anggota polis mengawal kawasan kem pemerdagangan manusia yang ditemui di kawasan Bukit Wang Burma berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. REUTERS 

KANGAR 27 Mei - Sindiket pemerdagangan manusia disyaki dari Thailand yang beroperasi di puncak Bu­kit Wang Burma di sini, dilengkapi senjata api selain turut menempatkan beberapa penembak tepat di lokasi tertentu di dalam hutan bagi memerhatikan kedatangan pihak berkuasa dari negara ini.

Faktor itu menyebabkan lokasi terletak kira-kira 400 meter dari ka­ki bukit di kawasan tersebut adalah berbahaya untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan renjer melakukan rondaan dalam jumlah yang kecil.Disebabkan tiada rondaan, maka kem di situ yang terletak di atas bukit yang curam serta hutan sederhana tebal di bahagian Malaysia tetapi landai di sebelah Thailand sehingga boleh dimasuki kende­raan, sudah beroperasi sejak 2013 tanpa disedari pihak berkuasa.
Menurut sumber, kem tersebut hanya terdedah apabila PGA menahan sejumlah lebih 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh awal tahun ini di kawasan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati air sungai yang me­ngalir di bahagian kaki bukit keruh selain bersabun.
“Maka sebab itu, kita yakin ada aktiviti di atas bukit tersebut lalu mengumpul maklumat risikan seterusnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan pasukan komando VAT 69 meng­gempur lokasi berkenaan.“Kalau kita mempunyai maklumat risikan sejak awal berhubung wujudnya aktiviti di atas bukit itu, adalah mustahil untuk kita mem­biarkan sahaja ia berlaku bertahun-tahun lamanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.Semalam, lebih 40 wartawan asing dan tempatan merasai sendiri pe­ngalaman mendaki bukit tersebut yang curam dan mengambil masa dua jam setengah untuk sampai ke kawasan penempatan kem pendatang asing terbabit.

Kem penempatan yang mempunyai dua bangsal besar diperbuat daripada pancang-pancang kayu itu, diibaratkan seperti ‘kandang binatang’ selain dibaluti kawat berduri bagi mengelak pendatang asing terbabit melarikan diri.Turut ditemukan sebuah kawasan berbukit mengandungi 37 kubur milik pendatang asing tersebut yang disyaki mati akibat didera, penyakit atau kebuluran.Tambah sumber tersebut, siasatan pihaknya mendapati mangsa pemerdagangan manusia diselu­dup masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus di perkam­pungan berdekatan iaitu laluan sama digunakan orang kampung untuk keluar masuk sempadan.

“Mereka tidak menggunakan kawasan di kaki bukit itu sebaliknya jalan sama digunakan penduduk kampung dan warga Thailand untuk menyeludup ternakan dan sebagainya.“Ini menyebabkan orang kampung sendiri tidak sedar kumpulan ini merupakan mangsa pemerdagangan manusia,” ujarnya.Kata sumber itu, hasil risikan pihaknya percaya ada ahli sindiket terbabit yang beragama Islam dan sebab itu ada mayat dikebumikan lengkap berkafan.“Dalam penemuan semalam ki­ta dapati mayat yang ditemukan itu, kain kafan masih elok dan dianggarkan dikebumikan beberapa ming­gu lalu.
“Penempatan itu juga dilengkapi kemudahan surau untuk mereka yang beragama Islam bersolat,” katanya.-Utusan Online 

Wednesday, 20 May 2015

MALAYSIA, INDONESIA SETUJU TAWAR PENEMPATAN SEMENTARA KEPADA 7,000 PENDATANG

pelarian
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju menawarkan perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang masih terkandas di laut.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tawaran itu merupakan persefahaman bagi proses penempatan semula dan penghantaran pulang yang akan dilakukan dalam tempoh setahun.
Beliau yang berkata demikian selepas mesyuarat mengenai pemerdagangan manusia pada Rabu memberitahu, penempatan sementara dan penghantaran pulang itu akan dilakukan oleh masyarakat antarabangsa.
Terdahulu, menteri luar dari Malaysia, Indonesia dan Thailand mengadakan mesyuarat di sini Rabu mengenai pergerakan individu tanpa melalui saluran yang sah.
Mesyuarat yang diadakan di Wisma Putra di sini melibatkan Anifah dan rakan sejawatnya dari Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Retno Marsudi dari Indonesia-MSTAR

Monday, 18 May 2015

3 maut disambar petir


BATU PAHAT 18 Mei - Tiga orang termasuk seorang murid Sekolah Kebangsaan Pematang Seri Rengas, Sri Medan dekat sini maut dipanah petir di sebuah pondok berdekatan sekolah itu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, ketiga-tiga mangsa yang identiti mereka belum dikenal pasti sedang berteduh daripada hujan sebelum dipanah petir.

Utusan Malaysia dimaklumkan, murid tersebut meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, manakala dua lagi mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Kesihatan Sri Medan. - UTUSAN ONLINE

KERAJAAN SEDIA KAJI PENGECUALIAN GST KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN



Ahmad Maslan GST
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengkaji cadangan mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada golongan tertentu seperti Orang Kurang Upaya (OKU), mahasiswa dan golongan termiskin, yang berdaftar dengan E-Kasih.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata malah sejak dilaksanakan, cukai itu telah membantu mengurangkan impak ke atas golongan berpendapatan rendah, dengan tidak mengenakan GST terhadap semua barangan mentah dan makanan asas.
“Kita adalah negara yang memberi paling banyak pengecualian GST jika dibandingkan dengan negara lain yang melaksanakan cukai ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu menjawab soalan asal Shamsul Anuar, Ahmad berkata setakat 10 Mei, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerima 4,849 aduan mengenai kesalahan GST dan Anti Pencatutan, membuka 13 kertas siasatan yang mana 11 sedang siasat dan 44 kes akan dibawa ke mahkamah.
Ahmad berkata kerajaan akan terus memperhebatkan penguatkuasaan ke atas peniaga yang melakukan penyelewengan harga bagi memastikan harga barangan stabil seperti sepatutnya setelah ditolak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Sekarang ini yang berlaku ialah peniaga tidak menolak SST dan menambah GST, menjadikan harga yang sepatutnya turun atau kekal itu naik.
“Ini bukan salah GST tetapi salah peniaga, ini yang buat pengguna marah. Kita harap dalam jangka masa enam bulan sehingga setahun, harga ini akan kembali stabil seperti yang kita jangka,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga akan menimbang untuk membuka lebih banyak kaunter aduan kepada pengguna bagi mereka mengemukakan sebarang masalah mengenai GST.
“Kita sememangnya memberi kuasa kepada seberapa ramai pihak termasuk ketua kampung, JKKK dan pengguna untuk melaporkan setiap kesalahan peniaga mengenai GST kepada pihak kita,” katanya.
Sumber : BERNAMA

Tuesday, 12 May 2015

'Penumpang Bermasalah' MH179 Dipenjara Sebulan

alt


SEPANG 13 Mei -  Seorang lelaki warga Jerman dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gangguan ketika berada di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH179 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Dietmar Ross, 54, membuat pengakuan itu selepas memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Aizatul Akmar Maharani.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa dengan cuai membahayakan anggota kru penerbangan udara, Phuah Soh Kin, 48, dengan meninggikan suara dan tidak mengikut peraturan dalam pesawat serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya dalam kejadian pada jam 11.45 malam 9 Mei lalu ketika dalam pesawat MH179 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka.

Dietmar didakwa mengikut Peraturan 70(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1969, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 188(7) peraturan yang sama. Peraturan itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda sehingga RM50,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Uma Devi Balasubramaniam, manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditahan. - Rakyat News

Monday, 11 May 2015

Adenan telah melakukan yang terbaik untuk negeri



KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem telah melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat di negeri ini meskipun hanya 14 bulan menyandang jawatan itu, kata Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.

“Rasanya Adenan telah melakukan yang terbaik dalam masa yang singkat kalau dibandingkan dengan DAP (Parti Tindakan Demokratik) Sarawak yang hanya sibuk melalak dan tidak menyumbang sebarang bentuk pembangunan,” katanya.

Justeru ujarnya, kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengatakan Adenan tidak banyak memberi sumbangan dan gagal menunaikan janji sejak menjadi Ketua Menteri baharu adalah kenyataan yang cetek akal dan tidak berasas.DAP ujarnya, hanya sibuk mencari kesalahan dan kelemahan orang lain semata-mata untuk populariti politik mereka.

“Saya yakin Ketua Menteri Adenan mampu mengubah dan menyumbang banyak lagi untuk negeri ini jika diberi mandat yang meyakinkan dalam pilihan raya akan datang,” katanya. Menurut Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Chong juga cuba menutup kelemahan sendiri apabila mengatakan DAP lebih menyerlah dalam Persidangan DUN baru-baru ini.

“Siapa yang hadir menyaksikan Persidangan DUN termasuk pihak media telah menyaksikan sendiri perangai wakil rakyat DAP yang seolah-olah keanak-anakan dan tiada tertib langsung semasa perdebatan.
“Banyak perkara dibangkitkan Chong sepatutnya dibangkitkan dahulu di Parlimen tetapi beliau memilih untuk mengutarakannya di DUN walaupun beliau menyedari perbincangan tentang perkara tersebut tidak akan ke mana-mana,” tegasnya. Katanya, jelas sekali Chong gagal memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen serta tidak mendapat perhatian di Parlimen.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video yang disiarkan dalam UBAH TV Sarawak yang berdurasi kira-kira 10 minit menyaksikan Chong memberi komen mengenai Persidangan DUN baru-baru ini.

Video yang bertajuk ‘What is your Comment On This DUN Sitting?’ dirakam pada 30 April 2015.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Chong itu, Abdullah berkata DAP harus belajar bagaimana berurusan dengan agensi-agensi kerajaan secara efektif bukannya membuat bising secara terbuka mengenai kelemahan agensi kerajaan terbabit.

Ia hanyalah untuk mendapat perhatian agar mereka dianggap wira masyarakat, tambahnya.Malah ujar pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Negeri (BNBBC) itu lagi, tindakan DAP itu boleh 
dianggap kasar dan biadap kerana boleh menimbulkan buruk sangka serta fitnah.Ketua Menteri katanya telah sedaya upaya melayani pelbagai permintaan masyarakat Cina tetapi sentiasa dianggap tidak mencukupi dan gagal mendapat sokongan politik.

Pada masa sama Ketua Menteri Sarawak telah membuktikan kesungguhan beliau untuk memakmurkan kawasan pedalaman dengan memohon peruntukan tambahan khas untuk pembangunan luar bandar.“Saya ingin menyeru kepada kerajaan, jika masyarakat Cina terus menerus tidak menunjukkan minat menyokong kerajaan, saya rasa tidak perlu untuk kerajaan BN terlalu memanjakan mereka. “Tumpukan sepenuhnya usaha memakmurkan kawasan dan masyarakat Bumiputera yang diwakili lebih daripada dua pertiga dalam kerajaan memerintah… dengan syarat masyarakat Bumiputera mesti lebih bersatu dan memberi sokongan jitu kepada kepimpinan Adenan,” tegasnya.

Menurutnya ada segelintir masyarakat Bumiputera yang mudah terpengaruh dan diperalatkan oleh pihak tertentu berasaskan perjuangan politik rapuh dan tiada hala tuju.“Kita (BN) tidak pernah menjanjikan kesempurnaan serta keajaiban tetapi kita mahu rakyat menilai daripada aspek kesungguhan, keterbukaan serta berani membaiki keadaan demi kemakmuran kita bersama,” katanya.

Sementara bagi kaum Cina, ini pula kata beliau: “Adalah malang jika komuniti Cina tidak diwakili wakil rakyat dalam kerajaan memerintah.“Kita mahu semua kaum diwakili dalam sebuah kerajaan yang kuat untuk sama-sama menyumbang secara langsung dalam pembangunan Sarawak.”Beliau juga yakin rakyat Sarawak akan menolak dan membenci sebarang bentuk budaya politik kasar dan biadap dibawa pembangkang kerana semua parti pembangkang d Sarawak mendapat didikan songsang daripada ‘mahaguru’ mereka yang bertapak di Semenanjung Malaysia.-Klxpress

Pendapatan Tambahan Negara Untuk Rakyat-Janji PM Kepada Rakyat

PM di JPM



Dalam usaha meyakinkan rakyat bahawa pendapatan tambahan negara akan digunakan untuk kebajikan rakyat dan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berjanji akan membentangkan kepada rakyat tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan bagi tujuan tersebut.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, apabila hasil pendapatan bertambah, kerajaan akan menerangkan kepada rakyat secara telus kerana rakyat hendak tahu penggunaan pendapatan negara itu.

“Nanti, saya akan bentangkan kepada rakyat, bahawa duit tambahan ini, kita akan menggunakan untuk kebaikan rakyat dan negara. Ini saya hendak memberi jaminan, bahawa itulah sebenarnya hasrat kerajaan.

“Apabila keadaan kita lebih kukuh, pasaran yakin kepada ekonomi negara kita, kita ada punca tambahan, kita boleh mara ke hadapan,” katanya di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini seperti yang dilaporkan Bernama.

Perdana Menteri merujuk kepada perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bermula April lepas yang dijangka akan memberi pendapatan tambahan kepada negara.

Najib turut menarik perhatian apabila berkata, sejak beliau mengambil alih pucuk kepimpinan negara pada 2009, kerajaan pada setiap tahun tidak pernah gagal untuk mengurangkan kadar defisit negara.

“Apabila saya ambil alih kepimpinan, defisit negara adalah 6.6 peratus. Setiap tahun tanpa gagal dan secara konsisten, kadar dikurangkan kepada 3.5 peratus setahun. Ini menunjukkan kita berada di landasan untuk capai bajet berimbang 2020,” katanya -EDITORIAL