KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr)
Haji Adenan bin Haji Satem telah melakukan yang terbaik untuk negeri dan rakyat
di negeri ini meskipun hanya 14 bulan menyandang jawatan itu, kata Ketua
Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.
“Rasanya Adenan telah melakukan yang terbaik dalam masa yang
singkat kalau dibandingkan dengan DAP (Parti Tindakan Demokratik) Sarawak yang
hanya sibuk melalak dan tidak menyumbang sebarang bentuk pembangunan,”
katanya.
Justeru ujarnya, kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong
Chieng Jen mengatakan Adenan tidak banyak memberi sumbangan dan gagal menunaikan
janji sejak menjadi Ketua Menteri baharu adalah kenyataan yang cetek akal dan
tidak berasas.DAP ujarnya, hanya sibuk mencari kesalahan dan kelemahan
orang lain semata-mata untuk populariti politik mereka.
“Saya yakin Ketua Menteri Adenan mampu mengubah dan
menyumbang banyak lagi untuk negeri ini jika diberi mandat yang meyakinkan dalam
pilihan raya akan datang,” katanya. Menurut Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Semop, Chong juga cuba menutup kelemahan sendiri apabila mengatakan DAP lebih
menyerlah dalam Persidangan DUN baru-baru ini.
“Siapa yang hadir menyaksikan Persidangan DUN termasuk pihak
media telah menyaksikan sendiri perangai wakil rakyat DAP yang seolah-olah
keanak-anakan dan tiada tertib langsung semasa perdebatan.
“Banyak perkara dibangkitkan Chong sepatutnya dibangkitkan
dahulu di Parlimen tetapi beliau memilih untuk mengutarakannya di DUN walaupun
beliau menyedari perbincangan tentang perkara tersebut tidak akan ke mana-mana,”
tegasnya. Katanya, jelas sekali Chong gagal memainkan peranan sebagai
Ahli Parlimen serta tidak mendapat perhatian di Parlimen.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video yang
disiarkan dalam UBAH TV Sarawak yang berdurasi kira-kira 10 minit menyaksikan
Chong memberi komen mengenai Persidangan DUN baru-baru ini.
Video yang bertajuk ‘What is your Comment On This DUN
Sitting?’ dirakam pada 30 April 2015.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Chong itu, Abdullah
berkata DAP harus belajar bagaimana berurusan dengan agensi-agensi kerajaan
secara efektif bukannya membuat bising secara terbuka mengenai kelemahan agensi
kerajaan terbabit.
Ia hanyalah untuk mendapat perhatian agar mereka dianggap
wira masyarakat, tambahnya.Malah ujar pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Negeri
(BNBBC) itu lagi, tindakan DAP itu boleh
dianggap kasar dan biadap kerana boleh
menimbulkan buruk sangka serta fitnah.Ketua Menteri katanya telah sedaya upaya melayani pelbagai
permintaan masyarakat Cina tetapi sentiasa dianggap tidak mencukupi dan gagal
mendapat sokongan politik.
Pada masa sama Ketua Menteri Sarawak telah membuktikan
kesungguhan beliau untuk memakmurkan kawasan pedalaman dengan memohon peruntukan
tambahan khas untuk pembangunan luar bandar.“Saya ingin menyeru kepada kerajaan, jika masyarakat Cina
terus menerus tidak menunjukkan minat menyokong kerajaan, saya rasa tidak perlu
untuk kerajaan BN terlalu memanjakan mereka. “Tumpukan sepenuhnya usaha memakmurkan kawasan dan masyarakat
Bumiputera yang diwakili lebih daripada dua pertiga dalam kerajaan memerintah…
dengan syarat masyarakat Bumiputera mesti lebih bersatu dan memberi sokongan
jitu kepada kepimpinan Adenan,” tegasnya.
Menurutnya ada segelintir masyarakat Bumiputera yang mudah
terpengaruh dan diperalatkan oleh pihak tertentu berasaskan perjuangan politik
rapuh dan tiada hala tuju.“Kita (BN) tidak pernah menjanjikan kesempurnaan serta
keajaiban tetapi kita mahu rakyat menilai daripada aspek kesungguhan,
keterbukaan serta berani membaiki keadaan demi kemakmuran kita bersama,”
katanya.
Sementara bagi kaum Cina, ini pula kata beliau: “Adalah
malang jika komuniti Cina tidak diwakili wakil rakyat dalam kerajaan
memerintah.“Kita mahu semua kaum diwakili dalam sebuah kerajaan yang
kuat untuk sama-sama menyumbang secara langsung dalam pembangunan Sarawak.”Beliau juga yakin rakyat Sarawak akan menolak dan membenci
sebarang bentuk budaya politik kasar dan biadap dibawa pembangkang kerana semua
parti pembangkang d Sarawak mendapat didikan songsang daripada ‘mahaguru’ mereka
yang bertapak di Semenanjung Malaysia.-Klxpress

No comments:
Post a Comment