Monday, 11 May 2015

Pendapatan Tambahan Negara Untuk Rakyat-Janji PM Kepada Rakyat

PM di JPM



Dalam usaha meyakinkan rakyat bahawa pendapatan tambahan negara akan digunakan untuk kebajikan rakyat dan negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berjanji akan membentangkan kepada rakyat tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan bagi tujuan tersebut.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, apabila hasil pendapatan bertambah, kerajaan akan menerangkan kepada rakyat secara telus kerana rakyat hendak tahu penggunaan pendapatan negara itu.

“Nanti, saya akan bentangkan kepada rakyat, bahawa duit tambahan ini, kita akan menggunakan untuk kebaikan rakyat dan negara. Ini saya hendak memberi jaminan, bahawa itulah sebenarnya hasrat kerajaan.

“Apabila keadaan kita lebih kukuh, pasaran yakin kepada ekonomi negara kita, kita ada punca tambahan, kita boleh mara ke hadapan,” katanya di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini seperti yang dilaporkan Bernama.

Perdana Menteri merujuk kepada perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) bermula April lepas yang dijangka akan memberi pendapatan tambahan kepada negara.

Najib turut menarik perhatian apabila berkata, sejak beliau mengambil alih pucuk kepimpinan negara pada 2009, kerajaan pada setiap tahun tidak pernah gagal untuk mengurangkan kadar defisit negara.

“Apabila saya ambil alih kepimpinan, defisit negara adalah 6.6 peratus. Setiap tahun tanpa gagal dan secara konsisten, kadar dikurangkan kepada 3.5 peratus setahun. Ini menunjukkan kita berada di landasan untuk capai bajet berimbang 2020,” katanya -EDITORIAL

No comments:

Post a Comment