SEPANG 21 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat segera sebarang kemungkinan termasuk berlakunya unsur sabotaj dalam kejadian yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) sejak kebelakangan ini termasuk yang terbaharu melibatkan MH192 yang terpaksa berpatah balik ketika dalam perjalanan ke Bangalore, India, awal pagi ini.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk segala kemungkinan yang timbul berhubung kejadian yang menimpa MAS termasuklah kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan ke Beijing, China.
"Biarpun MAS di bawah Khazanah Nasional, namun pihak kami mahukan satu laporan lengkap disediakan secepat mungkin. Ini kerana sudah banyak insiden menimpa MAS termasuk kes kehilangan MH370 dan laporan itu perlu diserahkan kepada kementerian ini dan Kabinet pada Rabu ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini awal pagi ini selepas menemui krew dan penumpang pesawat MH192.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Hishammuddin memuji kecekapan juruterbang MH192, Nor Adam Azmi Abdul Razak, melaksanakan tugasnya dengan profesional dalam memastikan kesemua 166 penumpang dan anak kapal selamat, semasa mendarat cemas.
"Walaupun keletihan, para penumpang sempat meluahkan rasa kagum mereka terhadap kecekapan juruterbang sehingga berjaya mendaratkan pesawat dan kesemua penumpang terselamat. Perkara ini diluahkan semasa saya berjumpa dengan mereka dan mereka amat berterima kasih kepada juruterbang pesawat itu, katanya.
Nor Adam Azmi dan pembantu juruterbang, Prakash Kumar bagaimanapun enggan ditemu bual pemberita dan meninggalkan tempat itu bersama Hishammuddin.
Nor Adam dilihat tersenyum ketika Hishammuddin memakaikan topi juruterbang ke kepalanya sebagai tanda penghargaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat segala kemungkinan termasuk unsur sabotaj seperti yang dimahukan oleh Hishammuddin.
"Kita akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyiasat perkara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Persidangan Tahunan Interpa di Kuala Lumpur, hari ini.
Sumber-Utusan
No comments:
Post a Comment