Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan termasuklah perkara-perkara yang menyentuh berkaitan Islam, kedudukan raja-raja Melayu serta mengenai usaha mengeluarkan mana-mana negeri dalam Persekutuan.

Musa berpendapat, hukuman sedia ada iaitu penjara lima tahun juga perlu ditambah bagi mewujudkan rasa gerun kepada individu yang terlibat melakukan kesalahan berkenaan.

“Seperti sekarang, ramai orang bercakap tentang Sabah dan Sarawak mahu keluar (Malaysia), itu hasutan tapi perkara itu terus diperkatakan “Begitu juga pasal warga-negara, kita tidak boleh per-tikaikan warganegara mereka (bukan Melayu) kerana mereka telah menjadi warganegara.“Jadi, pada saya, kita memerlukan satu akta yang berkesan untuk mengekang perkara itu dari terus berlaku dan amat jelas akta ini masih relevan kerana ia menjaga keharmonian semua pihak dan perkara ini amat penting dalam menjadikan negara terus sejahtera dan aman,” katanya demikian selepas menghadiri program pemahaman mengenai akta tersebut anjuran Pergerakan Wanita UMNO Perak, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Presiden Penaja Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya ketika menjadi panel dalam program itu berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan pihak tertentu sehingga sanggup mengubah undang-undang dengan sewenang-wenangnya.
Dalam konteks tersebut katanya, semua pihak boleh menjadikan pengalaman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang diganti akta baharu iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) selain Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) sebagai contoh pada masa depan.

“Pada saya ia (Sosma) tidak cukup kuat kerana meskipun pihak berkuasa boleh menahan individu terlibat, namun mereka perlu memohon di mahkamah dan membuktikan perkara tersebut terlebih dahulu,” katanya. - Utusan Online