Seorang pelajar tingkatan empat dilaporkan hilang selepas mengambil bahagian dalam perlumbaan maraton di Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu petang semalam, kata polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Hussin Deraman berkata Ahmad Rafikin Azman, 16, tidak menyelesaikan acara maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Ohtman, 50, membuat laporan polis pada kira-kira 6 petang.
Azman sebelum itu memaklumkan pihak penganjur apabila dia tidak dapat menemui Ahmad Rafikin, pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, yang akan diambilnya pada pukul 3 petang selepas perlumbaan itu, katanya.
Kesemua 32 peserta yang lain telah tiba ketika itu.
“Selepas menunggu beberapa lama, Azman yang juga
Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu
(JPNT), membuat laporan polis,” kata Hussin.
Difahamkan Ahmad Rafikin tidur di sebuah khemah di lokasi itu pada 31 Oktober dan meninggalkan telefon bimbitnya di rumah.
Operasi mencari dilancarkan oleh 42 anggota terdiri daripada anggota daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Rela serta penduduk kampung setempat.
Sementara itu, urusetia perlumbaan itu, Mohd Rafi Kori berkata Ahmad Rafikin hanya melalui pusat pemeriksaan pertama trek perlumbaan itu tetapi tidak kelihatan sehinggalah ke garisan penamat dalam kategori junior 12km yang disertainya.
Acara marathon itu disertai 540 peserta pelbagai peringkat umur bermula 8.15 pagi.
Perlumbaan itu dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu dan diuruskan oleh Persatuan Kembara Negara. – Bernama
HULU TERENGGANU 4 Nov. - Misteri kehilangan pelajar tingkatan empat, Ahmad Rafikin Azman, 16, sejak Sabtu lalu kini terungkai apabila mayatnya ditemui dan dibawa turun anggota pasukan penyelamat pukul 6.40 petang ini.
Serentak itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Rosli Mohd. Amir mengesahkan operasi mencari dan menyelamat pelajar yang hilang selepas menyertai Maraton Gunung Gajah Terom, Sekayu, Kuala Berang di sini itu, berakhir.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment