Friday, 11 September 2015

Jerebu Sarawak

KUCHING: Empat kawasan di selatan dan tengah Sarawak yang terletak dalam arah tiupan angin dari Kalimantan mengalami jerebu agak membimbangkan apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga petang semalam.
Kawasan yang mencatat bacaan IPU tidak sihat di Sarawak setakat jam 5 petang semalam menurut laman web Jabatan Alam Sekitar ialah Kuching (146), Samarahan (167), Sri Aman (154) dan Sarikei (104).Kontroller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal berkata, titik panas dikesan di beberapa kawasan tengah Kalimantan, manakala di negeri ini pembakaran terbuka tidak dibenarkan agar keadaan tidak bertambah buruk.

“Kita berharap arah tiupan angin akan berubah pada pertengahan September seperti yang diramal oleh Jabatan Meteorologi,” katanya ketika dihubungi semalam.
“Jerebu ini adalah rentas sempadan, lebih 300 titik panas dikesan di Indonesia (Kalimantan) pada minggu lepas.Beliau berharap jerebu tidak akan bertambah buruk seperti yang dialami pada 1997 sehingga darurat diisytiharkan apabila IPU di Kuching mencecah 650 dan Miri 700.Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penerbangan dalam negeri terjejas akibat jarak penglihatan yang terhad sehingga menyukarkan pesawat untuk mendarat dan berlepas.
Turut terjejas, penerbangan Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) membabitkan sekumpulan penumpang dalam perjalanan ke Kuching dari Miri.Pesawat yang berlepas pada kira-kira jam 8.40 pagi semalam terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Sibu ekoran jerebu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.Manakala, satu lagi penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuching dijadual berlepas pada 12.30 tengah hari turut terjejas.
Seorang penumpang yang dikenali sebagai A Teo berkata, penumpang diarah mengosongkan pesawat apabila pesawat MAB tidak dapat memulakan perjalanan ke Kuching.Tinjauan di bandar raya Kuching mendapati orang ramai masih menjalankan rutin harian seperti biasa.
Bagaimanapun, sudah kedengaran rungutan apabila jerebu saban tahun melanda, seakan-akan tidak ada penyelesaian.“Sebab agak sudah biasa dengan jerebu setiap tahun menyebabkan kita tidak ambil peduli sangat hendak pakai topeng penutup mulut dan hidung,” kata seorang yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad.
Di Sibu, Kontroller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), William Jinep yang dihubungi menasihati semua juragan  pengangkutan sungai khususnya bot penumpang agar lebih berhati-hati ketika menyusuri sungai berikutan  jarak penglihatan yang terhad akibat jerebu.Beliau berkata, langkah berhati-hati perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kemalangan daripada  berlaku.
“Juragan bot ekspres dan bot laju dinasihati agar memasang semua lampu serta mengurangkan kelajuan  ketika menyusuri sungai.“Ketika menghampiri selekoh, juragan hendaklah membunyi hon selain memberi perhatian kepada  pengguna-pengguna sungai yang lain,” ujarnya.
Menurut William, operasi pengangkutan sungai masih berjalan seperti biasa dengan tiada pembatalan  perjalanan bot penumpang dilakukan setakat ini.Beliau juga memberitahu, pegawai LSS di seluruh negeri diarah memantau keadaan dengan teliti dari  semasa ke semasa.
Sehingga jam 3 petang semalam, Sibu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 92 berbanding  91 pada jam 2 petang.Tinjauan di Dermaga Kapit di Jalan Khoo Peng Loong semalam mendapati jarak penglihatan di Batang  Rajang agak terhad akibat keadaan berjerebu. -UB-

No comments:

Post a Comment