Ruangan pojok Awang Selamat dalam Utusan Malaysia hari ini mengatakan dengan menyertai sambutan Hari Kemerdekaan, semangat cintakan negara akan lebih jelas dizahirkan berbanding menyertai demonstrasi Bersih 4. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 Ogos, 2015.
Utusan Malaysia hari ini menyeru orang ramai menyertai sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos ini bagi menunjukkan semangat patriotisme mereka, dan bukannya dengan berdemonstrasi jalanan dalam Bersih 4.0 yang bakal berlangsung hujung minggu depan.Menerusi ruangan pojok Awang Selamat, akhbar milik Umno itu berkata, cara itu lebih jelas dan mudah jika mahu menzahirkan semangat cintakan negara."Helah pihak penganjur berselindung di sebalik semangat patriotisme amat menjengkelkan.
"Bukankah sudah ada perencanaan sambutan Hari Kemerdekaan di seluruh negara yang sewajarnya dijayakan setiap orang yang mengaku warganegara Malaysia," tulis Awang.
Ia bagaimanapun mengakui, undang-undang sememangnya membenarkan sebuah perhimpunan diadakan tetapi ia tetap salah jika untuk tujuan yang jelas meruntuhkan sistem demokrasi."Siri perhimpunan haram Bersih sebelum ini membuktikan pelbagai perkara buruk ditinggalkan."Kepentingan rakyat terbanyak menjadi korban," katanya.
Malah, Awang juga mempersoalkan lokasi perhimpunan tersebut diadakan sedangkan penganjur mengetahui Dataran Merdeka setiap tahun digunakan sebagai tempat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara."Pada ketika itu, pelbagai persiapan infrastruktur dan aset, termasuk ketenteraan, disusun atur di situ untuk sambutan Hari Kemerdekaan.
"Justeru, amat wajar polis dan pihak berkuasa tempatan, yakni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkannya," katanya.Perhimpunan Bersih 4.0 dijadualkan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini, ketika rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dan negara berdepan dengan kemelut politik.
Perhimpunan tersebut dijangka mengumpulkan sebilangan besar peserta, malah penganjur sehingga kini mengutip hampir RM1.2 juta daripada penderma.Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menyifatkan kutipan tersebut menggambarkan sokongan orang ramai kepada tuntutan-tuntutan mereka. – 22 Ogos, 2015
sumber dari - http://www.themalaysianinsider.com/
sumber dari - http://www.themalaysianinsider.com/
No comments:
Post a Comment