KUALA
LUMPUR 13 Jan. - Sebarang bentuk peraduan berkonsepkan ‘gores dan menang’ akan
diharamkan dan peniaga tidak lagi dibenar menawarkan kegiatan seumpama itu
kepada pengguna.
MOHD.
ROSLAN
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Mohd. Roslan Mahayuddin
berkata, larangan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kementerian mewujudkan
sebuah undang-undang kecil di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada tahun
ini bagi membanteras habis-habisan kegiatan penipuan menggunakan modus operandi
tersebut.
Menurut beliau, pada masa ini, sindiket
peraduan gores dan menang dikesan terus berleluasa disebabkan tiada
undang-undang khusus yang membolehkan tangkapan terus dibuat, sebaliknya,
langkah penguatkuasaan perlu menggunakan akta berbeza atau berkaitan
menyebabkan tindakan pendakwaan sukar dan lambat diambil.
Sehubungan itu, tegas beliau, di bawah
undang-undang kecil baharu itu kelak, mana-mana pihak yang masih mahu
menjalankan peraduan gores dan menang itu perlu meminta kebenaran daripada
kementerian terlebih dahulu.
“Sebelum ini, langkah penguatkuasaan
sindiket gores dan menang hanya boleh didakwa di bawah Akta Jualan Langsung
1993 iaitu kita anggap mereka menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa
lesen. Selain itu. kita turut menggunakan Akta Perlindungan Pengguna 1999 di
bawah kes penipuan, namun ini sukar dilaksanakan sebab kena ada pembuktian
lengkap bagaimana kes penipuan itu berlaku.
“Oleh itu, kita rasakan perlu untuk
mewujudkan undang-undang kecil ini dengan menghapuskan terus semua kegiatan
gores dan menang, jadi mudah bagi kita untuk membuat penguatkuasaan,” katanya
kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
kementerian itu di sini hari ini.
Laporan khas Utusan Malaysia semalam
membongkar sindiket gores dan menang yang semakin berleluasa biarpun sudah
beribu laporan polis dibuat dan ratusan laporan dikemukakan kepada pihak
kementerian, namun sindiket yang berselindung di sebalik syarikat-syarikat
tidak pernah serik menjalankan kegiatan haram mereka.
Berikutan itu, Menteri Perdagangan Dalam
Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek memberi jaminan,
sindiket berkenaan tidak akan lagi dibiarkan terus bermaharajalela di negara
ini menjalankan kegiatan penipuan mereka sehingga boleh mengaut keuntungan
jutaan ringgit.
Dalam pada itu, Mohd. Roslan berkata, pada
masa ini pihak kementerian sedang mengenal pasti beberapa syarikat yang dikesan
‘melindungi’ sindiket gores dan menang itu dengan mendapatkan kerjasama pihak
polis, persatuan-persatuan pengguna dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, ini termasuk berganding bahu
dengan semua pasar raya besar untuk memastikan ‘ulat’ itu tidak dibenarkan
menjalankan kegiatan di premis mereka memandangkan sasaran utama kumpulan itu
adalah di lokasi tumpuan orang ramai.
“Saya juga ingin menafikan sebarang
dakwaan terhadap pasukan penguat kuasa yang dikatakan ‘melindungi’ sindiket itu
termasuk tuduhan menerima rasuah dan sebagainya kerana pihak kami menjalankan
tugas dan tanggungjawab dengan begitu komited demi kepentingan pengguna.
“Pengguna juga diminta tidak mudah
terpedaya jika didatangi mana-mana pihak yang menawarkan hadiah tidak
munasabah, jangan buka ruang atau beri peluang kepada mereka untuk mereka mudah
menjerat kita,” katanya.- Utusan online
No comments:
Post a Comment