KUALA LUMPUR 15 Jan. - Mangsa banjir yang mempunyai hak milik tanah namun mengalami kemusnahan rumah akibat bencana itu bakal dibantu oleh kerajaan yang akan menanggung sepenuhnya kos pembinaan semula kediaman mereka pada nilai RM48,000 seunit, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet semalam telah bersetuju mengenai reka bentuk rumah yang akan dibina di atas tanah setinggi 2.5 meter untuk mengurangkan kesan akibat banjir pada masa hadapan.
Menurut beliau, Jawatankuasa Bencana Peringkat Negeri Kelantan yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah diminta mengenal pasti mangsa banjir yang layak dan tanah-tanah yang akan didirikan rumah berkenaan.
“Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah diberi tugas untuk mengkoordinasikan kontraktor-kontraktor tempatan yang mempunyai kepakaran dan kita meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memberi kelulusan pelan pembangunan dengan segera.
“Segala kos (pembinaan semula rumah mangsa banjir) ini kerajaan tanggung daripada peruntukan RM700 juta di bawah Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB), di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, mesyuarat Kabinet semalam turut bersetuju agar rumah-rumah mangsa banjir yang mengalami kerosakan dapat dibantu pada kadar antara RM5,000 dan RM10,000 bagi setiap rumah.
Katanya, kerja-kerja pembaikan itu boleh dilakukan oleh kontraktor yang diselaraskan CIDB atau melalui gotong-royong melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP).
Muhyiddin memberitahu, penempatan semula mangsa banjir menjadi keutamaan kerajaan dengan beberapa penempatan sementara disediakan di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), kem tentera serta projek perumahan rakyat.
“Selain itu, kita akan bina penempatan sementara di atas tanah yang disediakan oleh kerajaan negeri, setakat ini, tanah seluas 3.6 hektar telah dikenal pasti di Kelantan dan kalau diserahkan, kita akan bangunkan rumah,” katanya.
Katanya, kerajaan juga bersetuju agar pembayaran wang sagu hati sebanyak RM500 disegerakan kepada mangsa banjir sama ada yang berpindah atau tidak manakala wang ihsan sebanyak RM5,000 disalurkan kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia.- Utusan Online
No comments:
Post a Comment