Wednesday, 21 January 2015

Sirul sah ditahan di Australia – KPN



KUALA LUMPUR 21 Jan. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan penahanan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar di Queensland, semalam.

Beliau berkata, tertuduh yang disabitkan kesalahan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu itu ditahan oleh pihak berkuasa Imigresen berkenaan susulan daripada notis merah Polis Antarabangsa (Interpol).“Dia kini ditahan di pusat tahanan Imigresen negara itu. Kita akan dapatkan pihak berkuasa polis disana untuk maklumat lanjut.


“Selain itu, polis juga akan bertemu dengan Peguam Negara untuk membincangkan tindakan selanjutnya berhubung kes Sirul Azhar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Agensi berita ABC News hari ini melaporkan, Sirul, 43, diletakkan di bawah jagaan pegawai Imigresen di Brisbane semalaman selepas Interpol mengeluarkan notis merah terhadapnya.Notis merah bermakna seseorang itu dikehendaki kerana terlibat melarikan diri dari hukuman atau kes yang diputuskan bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa bagi tujuan ekstradisi.Sementara itu, Interpol mengesahkan mereka tidak terlibat dalam mengekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.
 
Sumber Interpol memberitahu, ketika ini proses penghantaran pulang bekas anggota UTK itu tidak membabitkan mereka meskipun notis merah telah dikeluarkan Interpol semalam.Kata sumber terbabit, Sirul Azhar ditahan pihak Imigresen Australia berpandukan notis merah dan kemungkinan akan membabitkan tindakan undang-undang di negara berkenaan.“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan notis merah menerusi Interpol dan penahannya dibuat susulan daripada notis berkenaan.
 
“Peringkat seterusnya adalah pihak Peguam Negara akan berhubung dengan Peguam Negara Australia bagi mendapatkan proses ekstradisi.“Jadi, proses membawa pulang Sirul Azhar selepas ini adalah melibatkan peringkat antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya.
 
Ditanya tentang notis merah terhadap Sirul Azhar, sumber memberitahu, tindakan itu dilakukan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Persekutuan, baru-baru ini.Utusan Malaysia difahamkan, kerajaan Malaysia perlu berdepan dengan undang-undang Australia termasuklah membuat laporan rasmi bagi mengekstradisi Sirul Azhar. Itu berikutan perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Australia dianggap tidak sah terhadap kes Sirul Azhar kerana negara itu tidak mengiktiraf hukuman mati. -Utusan Online.

No comments:

Post a Comment