Sunday, 25 January 2015

Guna kaedah sendiri didik generasi muda

Harussani Zakaria
Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Kerajaan diminta tidak terlalu mengikut kaedah atau sistem perundangan Barat dalam usaha melindungi hak dan kepentingan kanak-kanak di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, meskipun sistem perundangan di negara luar itu terbukti berkesan dalam mendidik generasi muda, tidak semestinya sesuai untuk diguna pakai di negara ini.Katanya, pihak berkuasa perlu menggunakan kaedah tersendiri dalam mendidik generasi muda di negara ini kerana situasi dan budaya Malaysia dengan negara luar adalah berbeza.

 “Saya tidak bersetuju sekiranya tindakan merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah kerana hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut bahawa perintahkanlah anakmu mendirikan solat ketika usianya tujuh tahun dan pukullah mereka sekiranya sudah berusia 10 tahun.

“Sebagai orang Islam, kita sepatutnya akur dengan pesanan Nabi Muhammad ini kerana pasti ada hikmah, jangan sesekali kita menafikan dan mengagung-agungkan cara Barat melebihi cara Islam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memberitahu, merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Sementara itu Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, dalam Islam, sebatan merupakan suatu hukuman pemulihan yang disyariatkan untuk melatih isteri dan anak-anak supaya melakukan sesuatu kewajipan.Katanya, suami dibenarkan untuk memukul isteri bagi tujuan mendidik sahaja tanpa mencedera dan tidak menjatuhkan maruah isteri tetapi kaedah itu disifatkan sebagai senjata terakhir selepas semua jalan lain gagal iaitu dengan memberikan teguran serta mengasingkan tempat tidur.


Tambah beliau, kaedah yang sama turut diguna pakai sekiranya ibu bapa merotan anak-anak iaitu tidak boleh memukul mereka di tempat yang sama hingga memudaratkan. -utusan Online

No comments:

Post a Comment